Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong oleh kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung nilai mata wang itu.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.7400/7455 berbanding dolar AS 4.7690/7730 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan bank pusat itu memberi rangsangan kepada peniaga tempatan meskipun ketika peserta pasaran memantau perkembangan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Beliau berkata mata wang tempatan itu mengukuh berbanding dolar AS hari ini dengan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.13 peratus kepada 103.838 mata.

"Ini berlaku berikutan pasaran menunggu laporan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) malam ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu menokok berbanding pound Britain kepada 6.0042/0111 daripada 6.0199/0250 semalam, ia mengukuh berbanding euro kepada 5.1434/1493 daripada 5.1510/1553 sebelumnya, tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.1642/1681 daripada 3.1635/1664 ketika ditutup pada Rabu.

Prestasi ringgit juga lebih baik berbanding mata wang Asean yang lain.

Ia meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2140/2345 daripada 13.2252/2421 ketika ditutup pada Rabu dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.5257/5301 daripada 3.5405/5437 sebelum itu.

Mata wang tempatan itu naik berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.47/8.49 semalam dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.0 daripada 303.8/304.3.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini