Ringgit susut ketara 0.82 peratus kepada 4.7535 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut ketara 0.82 peratus kepada 4.7535


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan penurunan harian ketara pada sesi dagangan tengah hari ini kepada RM4.7535 atau penyusutan 0.82 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ia berikutan data pembayaran gaji bukan ladang AS (NFP) pada Januari yang kukuh.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar AS adalah disebabkan data pasaran pekerjaan di AS pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, NFP iaitu penanda aras kepada jumlah pekerjaan yang diwujudkan telah melonjak ke paras 353,000 pada Januari lalu dan melebihi jangkaan penganalisis ekonomi yang rata-rata menjangkakan data itu hanya setakat 187,000.

Beliau berkata, perkara itu telah menguatkan sangkaan bahawa jangkaan penurunan kadar faedah pada Mac dilihat semakin menurun.

"Perkara ini telah menguatkan nilai dolar AS disebabkan kadar faedah AS dijangka kekal tinggi pada paras 5.50 peratus untuk tempoh yang agak lama.

"Oleh yang demikian, kemerosotan nilai ringgit adalah berpunca daripada faktor luaran," katanya kepada BH.

AmInvest Research berkata, indeks dolar AS meningkat ke paras tinggi dalam tujuh minggu selepas data menunjukkan majikan menambah lebih banyak pekerjaan pada Januari daripada dijangkakan.

Katanya, perangkaan terkini itu sekali gus mengurangkan peluang jangka pendek untuk Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah.

Katanya, indeks dolar melonjak sebanyak 0.8 peratus kepada 103.92.

"Pagi ini, ringgit dibuka 4.739 ketika sesi dagangan Tokyo berikutan pengukuhan dolar AS pada Jumaat," katanya dalam nota penyelidikannya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini