BNM tingkat hubungan, galak korporat, pelabur tukar kepada ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

BNM tingkat hubungan, galak korporat, pelabur tukar kepada ringgit


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan hubungan dengan korporat dan pelabur untuk terus menggalakkan penukaran kepada ringgit memandangkan langkah sedemikian mempunyai kesan segera terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran dalam membeli ringgit. 

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) berkata, potensi untuk penukaran selanjutnya kepada ringgit mungkin tinggi berdasarkan paras semasa baki mata wang asing dalam negeri.

Ia juga berpendapat bahawa paras semasa ringgit adalah terkurang nilai, khususnya dalam keadaan asas ekonomi negara yang kekal kukuh, sementara prospek ekonomi adalah positif.

"FMC menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) mengenai ringgit, terutama menyentuh penyelarasan yang diperhebat antara kerajaan dan BNM bagi meningkatkan aliran masuk ke dalam pasaran.

"Ia termasuk meningkatkan penyelarasan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menggalakkan mereka menghantar pulang pendapatan pelaburan asing dan menukar pendapatan itu kepada ringgit secara lebih konsisten, memainkan peranan mereka untuk menyokong ringgit di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas FMC bermesyuarat pada Jumaat lalu untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran tukaran asing (forex) ringgit.

FMC yang ditubuhkan oleh BNM pada Mei 2016, dianggotai oleh wakil bank pusat berkenaan, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang berperanan penting atau terbabit dalam pasaran kewangan.

FMC juga menyedari mengenai keyakinan berterusan pelabur global terhadap pasaran kewangan Malaysia.

Ia berkata, setakat tahun ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.7 peratus, disokong oleh aliran masuk AS$422 juta daripada pelabur bukan pemastautin.

Katanya, pegangan bon kerajaan jangka panjang oleh bukan pemastautin juga terus stabil pada sekitar 22 peratus, manakala pasaran forex kekal rancak dengan pendapatan harian yang sihat sebanyak AS$15.3 bilion.

"Ini akan terus memudahkan pengantaraan secara cekap dalam ekonomi," FMC.

Dalam pada itu, Pengerusi FMC yang juga Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid menyifatkan mesyuarat FMC itu sebagai bermaklumat.

"Berdasarkan pandangan yang dikongsi, prospek untuk ringgit meningkat selepas ini adalah kukuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Perbendaharaan Standard Chartered Bank Malaysia, Sylvia Wong, berkata bank berkenaan telah

melihat aliran seimbang daripada pelabur korporat dan institusi memandangkan ringgit terus diniagakan dengan teratur.

Beliau berkata, faktor luaran, iaitu jangkaan kenaikan kadar AS, terus menentukan pergerakan FX serantau, termasuk ringgit.

"Apabila keterlihatan pengurangan kadar AS bertambah baik, penilaian kadar pertukaran dua hala berbanding dolar AS sepatutnya bertambah baik," katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan Allianz Malaysia Bhd, Wong Siew Lin pula berkata, prestasi ekuiti positif setakat ini bagi 2024 dan aliran peningkatan juga terbukti secara meluas.

Di samping itu, beliau berkata, pasaran utama juga telah mengatasi saham bermodal kecil pada tahun ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini