FMC anggap ringgit terkurang nilai, asas ekonomi kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

FMC anggap ringgit terkurang nilai, asas ekonomi kukuh


JAWATANKUASA Pasaran Kewangan (FMC) sependapat dengan penilaian bahawa paras semasa ringgit adalah terkurang nilai, khususnya dalam keadaan asas-asas ekonomi negara kekal kukuh manakala prospek ekonomi adalah positif.

FMC yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei 2016, dianggotai oleh wakil bank pusat berkenaan, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang berperanan penting atau terbabit dalam pasaran kewangan.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata, FMC mengadakan mesyuarat pada Jumaat bagi membincangkan perkembangan terkini membabitkan ringgit dalam pasaran pertukaran mata wang asing (forex).

Pada masa sama, FMC turut menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai ringgit, terutama menyentuh penyelarasan antara kerajaan dan BNM bagi meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran.

Ini termasuk meningkatkan penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menggalakkan mereka membawa masuk pendapatan pelaburan asing masing-masing dan ditukar kepada ringgit secara lebih konsisten selain memainkan peranan menyokong ringgit dalam persekitaran global yang mencabar.

Menurut kenyataan itu, FMC juga menyedari mengenai impak segera dari segi aliran di pasaran serta peningkatan minat belian terhadap ringgit.

"Potensi bagi pertukaran kepada ringgit selepas ini juga mungkin lebih tinggi, berdasarkan paras semasa baki mata wang asing dalam negara. FMC juga mengambil maklum bahawa BNM akan meningkatkan libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur untuk terus menggalakkan pertukaran dan mengukuhkan sentimen pasaran terhadap ringgit," kata BNM.

Pada masa sama, FMC juga menyedari mengenai keyakinan berterusan pelabur global terhadap pasaran kewangan Malaysia.

Setakat tahun ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.7 peratus, disokong oleh aliran masuk AS$422 juta (RM2 bilion)daripada pelabur bukan pemastautin.

Pegangan bon kerajaan jangka panjang oleh bukan pemastautin juga terus stabil pada sekitar 22 peratus manakala pasaran forex kekal rancak dengan perolehan harian yang sihat sebanyak AS$15.3 bilion (RM72.6 juta).

"Ini akan terus memberi kemudahan dari segi pengantaraan secara cekap dalam ekonomi," kata BNM.

Dalam pada itu, Pengerusi FMC yang juga Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid menyifatkan mesyuarat itu sebagai bermaklumat.

"Berdasarkan pandangan yang dikongsi, prospek untuk ringgit meningkat selepas ini adalah kukuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perbendaharaan Standard Chartered Bank Malaysia, Sylvia Wong dipetik sebagai berkata, bahawa bank berkenaan telah menyaksikan aliran seimbang daripada pelabur korporat dan institusi dengan ringgit terus diniagakan secara sewajarnya.

"Faktor luaran seperti jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat, terus mempengaruhi pergerakan forex serantau, termasuk ringgit. Apabila jangkaan penurunan kadar faedah AS itu berubah, kadar tukaran juga sepatutnya pulih,” katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan Allianz Malaysia Bhd, Wong Siew Lin pula berkata, prestasi positif ekuiti setakat tahun ini adalah ketara dengan alirannya peningkatannya juga secara meluas.

"Di samping itu, (prestasi saham) di pasaran utama juga telah mengatasi saham-saham bermodal kecil pada tahun ini,” katanya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini