Harga emas pukal rekod paras tertinggi, RM338.44 segram - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas pukal rekod paras tertinggi, RM338.44 segram


BENGALURU: Harga emas pukal melonjak ke paras tertinggi selepas dolar Amerika Syarikat (AS) dan hasil bon berada pada paras lebih rendah ekoran langkah Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan unjuran tiga pemotongan kadar faedah tahun ini.

Kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos peluang untuk pegangan emas bukan hasil dan menjejaskan dolar AS, menjadikan logam berharga itu lebih murah untuk pelabur yang memegang mata wang lain.

Spot emas naik 0.8 peratus kepada AS$2,203.84 (RM10,438.90) setiap auns atau RM335.62 segram, setakat 0153 GMT, selepas mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada AS$2,222.39 (RM10,526.80) atau RM338.44 segram pada sesi dagangan awal.

Niaga hadapan emas AS melonjak 2.1 peratus kepada AS$2,206.30 (RM10,450.50) atau RM335.99 segram.

Fed mengekalkan kadar faedah yang stabil pada Rabu, tetapi penggubal dasar menyatakan mereka masih menjangka untuk mengurangkannya sebanyak tiga perempat daripada mata peratusan menjelang akhir 2024.

Pengerusi Fed, Jerome Powell dilaporkan berkata, bacaan kadar inflasi yang tinggi baru-baru ini tidak mengubah 'kisah' asas mengenai tekanan harga yang perlahan-lahan meredakan di AS.

"Ini adalah senario 'goldilocks' untuk harga emas, di mana jangkaan inflasi yang lebih tinggi sedikit memenuhi kadar nominal yang lebih rendah untuk menghasilkan penurunan hasil sebenar.

"Terdapat tempoh sentimen lembap dalam pasaran apabila belian bersih jatuh dengan ketara. Bagaimanapun, tindakan memberangsangkan Fed memberi sedikit tekanan yang meningkatkan kenaikan harga," kata Penganalisis Pasaran Kewangan Capital.com, Kyle Rodda.

Peniaga niaga hadapan dana Fed kini menetapkan harga dalam kebarangkalian 75 peratus bahawa Fed akan mula mengurangkan kadar pada Jun, meningkat daripada 59 peratus pada hari Selasa, menurut FedWatch Tool, CME Group.

Dolar AS merosot ke paras terendah dalam tempoh seminggu berbanding pesaingnya, manakala hasil Perbendaharaan 10 tahun penanda aras AS juga mencatatkan kemerosotan.

"Dengan Powell mengekalkan tiga kemungkinan pengurangan kadar pada tahun ini, hasil bon dan dolar AS merosot, sekali gus membuka laluan lebih tinggi untuk harga emas," kata Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer dalam nota penyelidikan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini