Malaysia tidak akan alami krisis imbangan pembayaran seperti Sri Lanka - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Malaysia tidak akan alami krisis imbangan pembayaran seperti Sri Lanka


KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berdepan dengan krisis imbangan pembayaran seperti yang dialami Sri Lanka kerana imbangan akaun semasa negara dijangka terus mencatat lebihan tahun ini.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar, berkata Malaysia telah merekodkan lebihan imbangan akaun semasa sejak 28 tahun lalu.

"Pertama sekali, kita tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran. Kami menjangkakan bahawa Malaysia akan terus mempunyai lebihan akaun semasa pada tahun ini.

"Jika kita melihat kepada isu ini, Malaysia telah mencatatkan lebihan imbangan akaun semasa sejak hampir 28 tahun yang lalu. Selain pemulihan eksport yang kami unjurkan, sektor pelancongan juga adalah penyumbang kepada pertukaran asing yang besar kepada negara.

"Tahun lalu, seramai 20.1 juta pelancong datang ke Malaysia dan tahun ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjangkakan kira-kira 27 juta pelancong dan dengan liberalisasi visa untuk pelancong China dan dengan ringgit berada pada tahap semasa menjadikan Malaysia sangat menarik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 di sini hari ini.

Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 44 peratus dalam lebihan imbangan dagangan pada Februari 2024 kepada RM10.87 bilion, dan ia menjadi lebihan dagangan yang ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan trend positif pada Februari meningkat 3.3 peratus kepada RM211.79 bilion tahun ke tahun.

Eksport menyusut secara marginal sebanyak 0.8 peratus kepada RM111.33 bilion manakala import meningkat 8.4 peratus kepada RM100.46 bilion.

Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, akaun semasa imbangan pembayaran dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi antara 1.8 peratus hingga 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024.

Katanya, lebihan ini adalah peningkatan berbanding dengan 1.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2023, yang merupakan imbangan akaun semasa paling rendah pernah dicatatkan sejak tahun 1997 (-5.9 peratus).

"Salah satu faktor yang akan menyumbang kepada peningkatan ini ialah prestasi perdagangan global yang lebih baik. Kami menjangkakan perdagangan global untuk berkembang di antara 2.9-3.4 peratus tahun ini berbanding 0.4 peratus tahun lalu.

"Kedua, peningkatan kitaran teknologi global akan turut menyumbang kepada peningkatan eksport kita. World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global berkembang sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2024.

"Ketiga, sebagai pengeksport komoditi bersih, harga komoditi yang lebih tinggi akan memberikan sokongan kepada eksport komoditi.

"Keempat, sektor pelancongan yang dijangka akan meningkat tahun ini dan boleh diperingkatkan lagi usaha untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia. Semua faktor ini akan memberi sokongan kepada akaun semasa kita," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini