OPR bukan alat digunakan BNM bagi perkukuh nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

OPR bukan alat digunakan BNM bagi perkukuh nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Pergerakan kadar faedah memberikan kesan kepada mata wang, tetapi ia tidak digunakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai alat untuk membantu mengukuhkan ringgit.

Penganalisis bebas, Nazri Hamdan, berkata dasar kewangan yang dilaksanakan BNM tidak menggunakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai alat mengawal ringgit, sebaliknya penanda aras bagi pinjaman dalam negara itu adalah lebih kepada untuk mengawal inflasi.

"Ringgit jatuh dan jangka OPR dinaikkan untuk baiki nilai ringgit tidak berlaku. Hal ini kerana, BNM akan guna kaedah lain untuk ringgit.

"Namun, secara tidak langsung perubahan OPR ini walaupun tidak digunakan sebagai alat khusus untuk ringgit, ia masih boleh mempengaruhi," katanya.

Nazri berkata, dasar monetari adalah dasar jangka pendek dan ia tidak boleh membaiki prestasi ringgit secara fundamental dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, dasar monetari boleh diibaratkan sebagai 'ubat penahan sakit' yang memberikan kelegaan hanya sementara.

"Jadi, jika tanya pandangan saya adakah ringgit boleh jatuh semula selepas fasa campur tangan, jawapan saya boleh. Jika keadaan eksport kita tak diperbaiki dan kita tidak mampu tarik kemasukan pelaburan, maka nilai ringgit boleh jatuh semula," katanya.

Nazri berkata, nilai ringgit tidak boleh diperbaiki melalui dasar monetari kerana ia perlulah dipulihkan dengan menggunakan dasar fiskal, iaitu cara kerajaan menggunakan dana dan membelanjakannya.

Sehubungan itu, beliau berkata jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang lebih baik, perbelanjaan pembangunan perlu ditingkatkan.

"Hendak baiki sistem hasil, reformasi sistem cukai perlu dilakukan seperti contohnya menukar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"(Perkara) yang menentukan pemulihan ekonomi dan ringgit adalah dasar fiskal. Itulah yang akan menentukan hala tuju ekonomi kita dalam jangka panjang, termasuk ke arah mana ringgit akan pergi," katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, koordinasi dan kerjasama di peringkat kerajaan sangat penting untuk membuat tindakan bersama bagi mengukuhkan nilai ringgit,

Beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengambil tindakan terhadap kelemahan ringgit.

Sebagai contoh, katanya sekurang-kurangnya 80 peratus daripada keseluruhan hasil eksport negara mesti ditukar kepada ringgit dan pulangan pelaburan dari luar negara ditukarkan kepada ringgit bagi mengukuhkan kembali nilai mata wang tempatan.

"Seterusnya, kurangkan import barangan makanan, berikan insentif harga keluaran tempatan yang lebih murah, kurangkan cukai korporat daripada 24 peratus bagi menarik pelaburan asing membawa masuk mata wang luar dan memberikan potongan cukai kepada pelaburan domestik bagi pelabur domestik.

"Langkah lain yang boleh dilakukan lagi ialah menambahkan jumlah perbelanjaan kepada sektor pelancongan supaya lebih ramai pelancong asing melawat dan berbelanja di Malaysia," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini