KUALA LUMPUR: Kenanga Research menjangkakan ringgit akan mengukuh ke paras RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2024 didorong sokongan dasar tambahan dari China yang disasarkan untuk membangkitkan semula ekonomi negara itu, ditambah usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk merangsang aliran masuk tukaran asing.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, mengekalkan tahap keyakinan pelabur dalam hala tuju dasar fiskal negara adalah perkara yang amat penting untuk menarik pelaburan ke dalam Malaysia.
"Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell yang cenderung terhadap kadar faedah tinggi, kami masih percaya bank pusat AS itu mungkin mula menurunkan kadar faedah Jun ini dan seterusnya, berikutan bukti disinflasi berterusan dan pasaran pekerjaan yang mulai perlahan dalam beberapa bulan akan datang.
"Jika isyarat kelemahan dalam pasaran pekerjaan seperti kelembapan dalam Indeks Pengurus Belian (PMI) perkhidmatan AS dan gaji sektor swasta lebih rendah pada Februari berlaku, Fed akan diyakinkan untuk menyemak semula dasarnya.
"Keraguan yang semakin bertambah terhadap tinjauan AS yang kukuh mungkin menyebabkan pelabur menilai semula jangkaan pemotongan kadar faedah Fed, sekali gus melemahkan nilai dolar AS dan mengukuhkan data tarikan terhadap aset berisiko," katanya.
Di sebalik bacaan eksport Malaysia lebih kukuh daripada jangkaan dan langkah diambil Beijing untuk memperkasakan ekonomi, ringgit jatuh ke paras paling lemah pada Februari.
Hal ini kebanyakannya disebabkan bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) teras AS kekal tinggi yang menjejaskan jangkaan pelabur bahawa Fed membuat penyesuaian lebih awal terhadap kadar faedah.
Akibatnya, indeks dolar AS (DXY) melonjak setinggi 104.96, dan perbezaan pulangan negatif 10-tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) - Perbendaharaan AS (UST) melebar kepada purata -37.4 mata asas (bps) pada Februari, berbanding -22.5 pada Januari.
"Namun, usaha bersama oleh kerajaan dan BNM untuk mengukuhkan aliran masuk ke dalam pasaran pertukaran asing domestik membantu ringgit untuk meningkat ke paras RM4.74 satu dolar AS menjelang akhir Februari," kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus sepanjang 2024, bersandarkan data utama dalam negeri yang stabil dan angka inflasi teras serta prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sekitar 4.5 hingga 5 peratus.
Bank pelaburan itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai pelan rasionalisasi subsidi kerajaan dan cukai perkhidmatan yang meningkat (daripada 6 peratus kepada 8 peratus) yang boleh memberi kesan kepada inflasi, tetapi ia percaya kesannya mungkin agak terhad.