Ringgit alami pembetulan teknikal, susut kepada RM4.68 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit alami pembetulan teknikal, susut kepada RM4.68 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengalami pembetulan teknikal hari ini dan ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mencatatkan peningkatan sejak beberapa hari lalulepas, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6845/6878 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6765/6800 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata bacaan teknikal menunjukkan ringgit telahpun berada dalam situasi terlebih beli.

Sementara itu, katanya, perhatian pelabur pada minggu depan akan tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang berlangsung dari 19 hingga 20 Mac.

"Bahagian penting tentang mesyuarat itu adalah unjuran terkini Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai pembolehubah makroekonomi terutamanya Kadar Dana Fed.

"Pada Disember, Fed mengunjurkan tiga penurunan kadar pada tahun ini. Kita lihat nanti sama ada Fed akan mengubah unjuran mereka terutamanya selepas mengambil kira data terbaharu itu," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.1650/1672 daripada 3.1718/1744 pada Selasa tetapi turun berbanding pound kepada 5.9840/9878 daripada 5.9808/9853 dan susut berbanding euro kepada 5.1164/1197 daripada 5.1114/1152.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1053/1200 daripada paras 13.1436/1601 pada Selasa dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.47 daripada 8.45/8.46 .

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5121/5149 daripada 3.5133/5162 tetapi berkurang berbanding rupiah Indonesia kepada 300.7/301.1 daripada 299.9/300.3 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini