Ringgit dijangka meningkat selepas kesan faktor global mulai reda - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka meningkat selepas kesan faktor global mulai reda


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meningkat tahun ini terutamanya apabila kesan faktor global semakin berkurangan dan ia selaras dengan ramalan positif bagi mata wang serantau lain, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar.

"Jangkaan peningkatan dalam ringgit akan disokong oleh beberapa faktor. Pertama ialah pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini yang mana akan mengurangkan tekanan terhadap ringgit.

"Di samping itu, pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi serantau juga dijangka meningkatkan aliran masuk dana asing ke rantau ini yang memberi manfaat kepada Malaysia.

"Malah, prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan, persekitaran inflasi sederhana serta pelaksanaan pembaharuan struktur, dijangka memberikan sokongan kepada ringgit ," katanya mengenai pertukaran asing pada Perbincangan Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Sesi perbincangan turut disertai Marzunisham dan Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Prof Dr Yeah Kim Leng yang bertindak sebagai moderator.

Antara panelis yang menyertai Perbincangan Ekonomi Malaysia ialah Ahli Ekonomi Kanan OCBC Singapura, Lavanya Venkateswaran; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Asia School of Business, Prof Joseph Cherian; dan Rakan Perjanjian, Ekonomi dan Dasar, PwC Malaysia, Patrick Tay.

Sementara itu, Marzunisham berkata pelaksanaan pembaharuan struktur adalah elemen penting dalam memastikan ekonomi Malaysia berkembang kukuh dan mampan.

Beliau berkata, bagi bank pusat, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada mempercepatkan pelaksanaan pelbagai pelan induk termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

"Kita juga mesti membangunkan ketersediaan tenaga kerja masa hadapan melalui pembaharuan pasaran buruh.

"Satu lagi pembaharuan struktur adalah mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, terutamanya dalam menghadapi masyarakat yang semakin berusia, selain kekal teguh dengan komitmen dalam melaksanakan pembaharuan fiskal," katanya dalam ucaptama.

Dalam pada itu, Marzunisham berkata hutang isi rumah dijangka kekal terkawal dalam keadaan pasaran buruh yang menggalakkan.

"Kapasiti pembayaran balik hutang isi rumah disokong oleh faktor persekitaran pendapatan dan pekerjaan yang bertambah, selain langkah sokongan kerajaan kepada isi rumah rentan," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini