KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka naik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, disokong oleh sentimen yang bertambah baik dalam persekitaran domestik menggalakkan, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata, mata wang tempatan itu berkemungkinan meningkat antara RM4.67 dan RM4.69 berbanding dolar AS minggu ini berikutan kenaikan ketara pada minggu sebelumnya.
"Sentimen terhadap ringgit dijangka bertambah baik manakala pendapat Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai terkurang nilai (undervalued) juga membantu memberi kesan positif kepada pergerakan ringgit," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar faedah semasanya sepanjang tahun 2024 yang mungkin penting untuk ringgit.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keputusannya untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus semasa mesyuaratnya pada Khamis.
"Dengan mengandaikan kadar faedah kekal sama, jangkaan perbezaan kadar faedah yang mengecil antara AS dan Malaysia sepatutnya membawa kepada dagangan ringgit lebih kukuh minggu ini.
"Jangkaan adalah untuk ringgit didagangkan antara RM4.67 dan RM4.70 berbanding dolar AS. Bagaimanapun, mungkin terdapat pergerakan ke arah RM4.65 jika inflasi AS menjadi reda seperti yang dijangkakan minggu ini," kata Innes.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS selepas Indeks Dolar AS (DXY) menurun dengan menjangkakan dasar monetari akan menurunkan kadar faedah di AS, ditambah dengan minat belian yang diperbaharui pada mata wang tempatan.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar AS kepada 4.6815/6855 daripada 4.7440/7480 minggu sebelumnya.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1821/1850 daripada 3.1642/1681 minggu sebelumnya, hampir tidak berubah berbanding pound Britain kepada 6.0050/0101 daripada 6.0042/0111 bagaimanapun naik berbanding euro kepada 5.1188/1231 berbanding 5.1434/1493 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Ringgit meningkat kepada 13.2134/2321 berbanding Baht Thailand daripada 13.2140/2345 Jumaat lalu, melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.5160/5192 daripada 3.5257/5301 minggu sebelumnya, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 daripada 301.5/302.0 dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.43 daripada 8.43/8.44 minggu lalu.