Ringgit diunjur meningkat kepada RM4.50 menjelang akhir tahun - AmBank - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur meningkat kepada RM4.50 menjelang akhir tahun - AmBank


KUALA LUMPUR: AmBank Economic Research mengunjurkan ringgit akan terus meningkat kepada sekitar RM4.50 menjelang akhir tahun berbanding dolar AS disebabkan pelbagai faktor termasuk potensi mengecilkan perbezaan kadar faedah antara mata wang yang lebih menguntungkan unit tempatan.

"Bagaimanapun, USD/MYR sebenar telah bergerak di bawah paras ini (minggu lalu pada 4.685). Sekali lagi, kami mengulangi bahawa model kami sudah menunjukkan bahawa nilai saksama semasa USD/MYR ialah kira-kira 4.50/4.60," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia juga menekankan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh apabila ringgit dibuka lebih tinggi pada 4.67 berbanding dolar AS hari ini daripada 4.68 ketika ditutup semalam.

Antara faktor membantu sentimen unit tempatan dan menstabilkan mata wang dalam jangka pendek adalah hala tuju dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang stabil dan konsisten, ia menenangkan pasaran.

Selain itu, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka akan mengurangkan Kadar Dana Persekutuan menjelang suku kedua atau ketiga tahun ini.

Usaha yang diselaraskan oleh bank pusat untuk meningkatkan aliran masuk dari luar negara juga turut memainkan peranan mengukuhkan ringgit.

Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan Indeks Dolar AS dan ringgit terkurang nilai telah mendorong pertukaran mata wang asing (forex) kepada mata wang tempatan seperti yang dibuktikan oleh jumlah deposit mata wang asing forex berbanding jumlah keseluruhan deposit.

Kumpulan AmBank itu berkata, BNM telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dan menjangkakan bahawa bank pusat akan mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang tahun ini walaupun terdapat campur tangan dari segi penawaran yang berterusan.

"Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan tidak menghadapi kemelesetan berbanding negara maju; jangkaan perbezaan kadar faedah yang lebih kecil dan petunjuk jelas dari Fed untuk menurunkan kadar faedah memberi kesan positif terhadap ringgit.

"Kami mengekalkan jangkaan bahawa ringgit berada pada 4.50 dengan kemungkinan berlaku penurunan sebanyak 4.60 setiap dolar," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini