KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit terus pulih secara ketara berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk minggu kedua berturut-turut dengan meningkat lebih satu peratus minggu ini.
Mata wang tempatan itu kini mengukuh ke paras 4.68 sedolar pada pagi semalam, paras kali terakhir dilihat pada Januari lalu.
Ia meningkat lebih 1.1 peratus peratus berbanding 4.743 sedolar pada pembukaan Isnin, selepas mencatat kenaikan 0.67 peratus pada minggu lalu.
Mata wang tempatan itu mencatatkan paras rendahnya dalam 26 tahun iaitu 4.80 sedolar pada 20 Februari 2024.
Sepanjang minggu ini juga memperlihatkan ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang utama lain seperti euro (+0.14 peratus); dolar Singapura (+0.24 peratus); rupiah Indonesia (+0.38 peratus); yen (+0.25 peratus); yuan (+1.01 peratus) dan won (+0.25 peratus).
Maybank Investment Bank berkata, ringgit telah stabil dalam beberapa hari kebelakangan ini berikutan komunikasi dan tindakan yang diselaraskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan yang merangkumi langkah sokongan ringgit bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menghantar pulang dan menukar pendapatan pertukaran asing dan pendapatan pelaburan luar negara mereka.
Ia berkata, penyelidikan tukaran asingnya (FX) mengekalkan pandangan bahawa ringgit secara keseluruhan mengakhiri tahun ini lebih kukuh berbanding dolar AS pada 4.40 sedolar.
Katanya, dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang, faktor positif ringgit termasuk tanda-tanda prospek pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik.
"Eksport meningkat semula pada Januari 2024 sebanyak 8.2 peratus selepas penurunan 10 bulan berturut-turut. Kami menjangkakan pemulihan setahun penuh dalam eksport kasar (jangkaan 2024: +4.7 peratus; 2023: -8.0 peratus).
"Justeru, eksport barangan dan perkhidmatan (jangkaan 2024: +3.2 peratus; 2023: -7.9 peratus) untuk menyokong peningkatan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar kepada +4.4 peratus (2023: +3.7 peratus)," katanya.
MIDF Research pula berpendapat bahawa pengukuhan ringgit baru-baru ini disokong oleh langkah menggalakkan GLC dan GLIC untuk membawa balik pendapatan pelaburan dari luar negara.
Ia berkata, bagi 2024, pihaknya percaya ringgit berada dalam kedudukan yang baik untuk mengukuh, disokong oleh ekonomi domestik yang kukuh dan negara sebagai pengeksport komoditi bersih iaitu minyak dan gas serta minyak sawit.
"Ringgit meraih manfaat daripada harga komoditi global yang menyokong dan lebihan perdagangan yang mampan.
Paling penting, Rizab Persekutuan AS dan bank pusat utama lain telah mengalihkan pendirian monetarinya daripada agresif ke arah berhati-hati.
"Justeru, perbezaan faedah akan mengecil pada 2024. Kami menjangkakan ringgit berbanding dolar AS secara purata pada RM4.38 sedolar dan mencecah RM4.20 sedolar menjelang akhir 2024," katanya.
AmBank Economic Research dalam nota penyelidikannya menjangkakan prospek jangka pendek meningkat bagi ringgit kekal cerah.
Ia berkata, sejajar dengan pelarasan semula naratif pengurangan kadar faedah, ditambah suasa yang sedikit berhati-hati terhadap risiko akibat krisis geopolitik yang berterusan, ringgit menyusut dan mencecah 4.805 pada 21 Februari 2024, tahap terakhir dilihat sejak Krisis Kewangan Asia (AFC) pada tahun 90an.
"Kami percaya terdapat lebih banyak peningkatan bagi ringgit berbanding ia didagangkan pada masa ini dan mengekalkan unjuran akhir tahun kami pada 4.50 dengan kemungkinan penurunan 4.60 sedolar," katanya.