Simpanan mata wang asing syarikat, pelabur meningkat tinggi sejak 2022 - Penganalisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Simpanan mata wang asing syarikat, pelabur meningkat tinggi sejak 2022 - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Jumlah deposit atau simpanan berasaskan mata wang asing dalam sistem perbankan negara sudah mula melonjak tinggi khususnya sejak bank pusat Amerika Syarikat mula menaikkan kadar faedahnya pada Mac 2022.

Sejak itu juga Rizab Persekutuan AS (FED) sudah 11 kali menaikkan kadar faedahnya yang kini berada pada paras 5.25 peratus hingga 5.50 peratus, jauh lebih tinggi berbanding kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia pada 3.0 peratus, mendorong pendeposit khususnya enterpris perniagaan beralih kepada simpanan dalam mata wang asing susulan pulangan yang lebih besar.

Perangkaan menunjukkan pertumbuhan jumlah deposit sistem perbankan adalah 5.6 peratus pada Disember 2023, manakala pertumbuhan deposit mata wang asing pula adalah 10.9 peratus setakat Disember 2023.

Ia sekali gus menunjukkan trend kenaikan jumlah deposit mata wang asing melebihi paras kenaikan yang dicatatkan jumlah deposit.

Menurut MIDF Research, enterpris perniagaan memegang deposit mata wang asing yang lebih tinggi iaitu 54.2 peratus, diikuti institusi kewangan sebanyak 21.9 peratus, lain-lain sebanyak 13.7 peratus dan individu sebanyak 8.4 peratus pada 2023.

Ia percaya peningkatan nisbah deposit mata wang asing kepada jumlah deposit terutamanya didorong oleh enterpris perniagaan dan institusi kewangan telah membawa kepada kelemahan ringgit sejak 2016.

Malah, katanya, dengan pengukuhan dolar AS disokong pengetatan dasar agresif Fed, keutamaan untuk memegang deposit mata wang asing meningkat lebih tinggi tahun lalu, didorong terutamanya oleh peningkatan pegangan terutamanya dalam kalangan enterpris perniagaan.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga berpendapat bahawa peningkatan deposit mata wang asing disebabkan kadar faedah yang ditawarkan adalah tinggi dan mengikut kadar faedah negara mata wang itu.

Contohnya, beliau berkata, ada bank yang menawarkan kadar pulangan deposit dolar AS sehingga 4.85 peratus bagi deposit dolar AS untuk tempoh matang 12 bulan, namun bagi kadar simpanan tetap bertempoh matang 12 bulan adalah sekitar 2.7 peratus.

Justeru, katanya, perbezaan yang besar telah menyebabkan minat yang tinggi kepada simpanan mata wang asing.

"Penukaran kepada ringgit seharusnya membantu dalam meningkatkan nilai ringgit. Namun, keputusan untuk menyimpan dalam mata wang asing adalah suatu keputusan komersil.

"Justeru, sebarang bentuk langkah untuk menggalakkan penukaran kepada ringgit perlu mengambil kira pasaran deposit serta kesannya kepada pergerakan mata wang ringgit dan sentimen pasaran mata wang," katanya.

Namun trend pertumbuhan jumlah deposit mata wang asing yang lebih tinggi berbanding jumlah deposit dalam sistem perbankan negara dijangka akan menyokong nilai ringgit untuk mengukuh apabila kadar faedah AS mula dikurangkan.

MIDF Research berkata, arah aliran mungkin akan perlahan dan malah boleh berpatah balik kerana keutamaan untuk memegang deposit mata wang asing mungkin beralih dengan jangkaan kelemahan dolar AS memandangkan Fed dijangka mengurangkan kadar faedah lewat tahun ini.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata peralihan dalam sentimen terutamanya mengenai jangkaan penurunan dolar AS apabila Fed mula mengurangkan kadar faedah akan membantu ringgit pulih.

Beliau berkata, deposit mata wang asing yang tinggi adalah berikutan kadar faedah yang tinggi bagi beberapa mata wang asing dan pendeposit juga meraih manfaat jika mata wang asing mengukuh berbanding ringgit.

Katanya, faktor lain yang turut menyumbang ialah pembiayaan pendidikan pelajar di luar negara dan tinjauan kelemahan ringgit juga menyebabkan pelabur dan pendeposit meletakkan simpanan atau pelaburan dalam mata wang asing sebagai lindung nilai terhadap penyusutan ringgit.

"Perubahan sentimen dan jangkaan terutamanya jangkaan penurunan dolar AS apabila Fed mula mengurangkan kadar faedah akan membantu ringgit pulih.

"Perubahan dalam tinjauan ini akan menghalang peletakan deposit dalam mata wang asing negara lain. Sementara itu, menggalakkan mereka yang dengan mata wang asing untuk bertukar kepada deposit ringgit, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap ringgit, seterusnya mengukuhkan ringgit," katanya kepada BH.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini