Utamakan barangan tempatan bantu perkukuh nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Utamakan barangan tempatan bantu perkukuh nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Dalam menangani isu kejatuhan nilai ringgit, kerajaan menggesa agar semua pihak dapat memainkan peranan bersama (whole of nation approach) dalam membantu mengukuhkan nilai mata wang tempatan.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis kepada Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, semua rakyat Malaysia digalakkan mengamalkan sikap 'Malaysia First' dalam amalan harian.

"Ini termasuk membeli barangan domestik, serta melabur dalam pasaran modal domestik. Kempen melancong di dalam negara juga perlu diperkenalkan dan ditingkatkan," katanya.

Mohd Syahir meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah konkrit yang diambil oleh kepimpinan negara dalam kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing nilai mata wang ringgit yang merosot sehingga mencecah ke paras terendah dalam sejarah, sepanjang tempoh 2023 dan permulaan 2024.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan memandang serius terhadap prestasi nilai ringgit dan komited untuk mempertahankan serta memperkukuh kedudukan mata wang negara itu.

Oleh yang demikian, katanya pelbagai langkah konkrit telah dan sedang diambil oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani kejatuhan nilai ringgit.

Ia berkata, ini termasuk memastikan pasaran pertukaran asing di dalam negeri kekal teratur.

"BNM akan mengambil langkah perlu termasuk campur tangan untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan. Memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar Amerika Syarikat (AS).

"Mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran dana ke pasaran pertukaran mata wang asing. Khususnya, kami memperkasakan lagi usaha bersama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC dan GLC) bagi menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan daripada pelaburan asing dan menukar pendapatan itu kepada ringgit dengan lebih konsisten.

"Mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara baharu. Pelaburan luar negara yang dilaksanakan juga perlu diurus secara berhemat seperti melindungi nilai (hedging) pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara bagi mengurangkan tekanan kepada ringgit," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini