KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui bahawa impak penyusutan nilai ringgit adalah lebih tinggi terhadap barangan import, termasuk makanan yang merangkumi daging dan tenusu, ikan dan makanan laut, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kementerian Kewangan dalam jawatan bertulis kepada Datuk Larry Soon@Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan memahami bahawa isi rumah khususnya golongan B40 lebih terdedah kepada penyusutan nilai ringgit disebabkan oleh bahagian perbelanjaan mereka yang lebih besar untuk makanan dan minuman yang merangkumi 35.4 peratus daripada jumlah perbelanjaan bulanan.
"Keadaan ini menyebabkan golongan ini lebih sensitif kepada pergerakan kadar pertukaran disebabkan kandungan import yang lebih tinggi.
"Walau bagaimanapun, harga komoditi global yang menyederhana sedikit sebanyak membendung sebahagian kesan penurunan nilai ringgit terhadap inflasi," katanya.
Jawapan diberikan kepada Larry yang meminta Menteri Kewangan menyatakan impak dan kesan penurunan nilai mata wang einggit sepanjang tahun terhadap prestasi ekonomi negara khususnya pendapatan isi rumah dan sektor pengilang.
Kementerian Kewangan berkata, sebagai negara pengeksport, penurunan nilai ringgit memampan pendapatan sektor pembuatan berorientasikan eksport yang diterjemahkan melalui keuntungan dalam jangka pendek.
Namun, ia berkata kerajaan peka bahawa penurunan nilai ringgit akan meningkatkan kos urus niaga import dan mengurangkan pendapatan boleh guna dan simpanan isi rumah.
Tambahnya, berdasarkan analisis yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), penurunan sebanyak lima peratus dalam kadar pertukaran ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) dikaitkan dengan kenaikan sekitar 0.2 mata peratusan secara purata dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).
"Namun, impak penyusutan nilai ringgit terhadap IHP adalah terkawal," katanya.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan telah mengambil langkah prihatin terhadap isu kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat dengan melaksanakan inisiatif Payung Rahmah bagi membantu isi rumah yang mudah terkesan.
Selain itu, kerajaan juga katanya membantu rakyat menerusi kawalan harga dan subsidi ke atas barangan keperluan seperti makanan dan bahan api.
"Bagi meningkatkan pendapatan isi rumah secara mampan, kerajaan komited untuk menambah peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyokong upah pekerja melalui peningkatan produktiviti," katanya.