Harapan penurunan kadar faedah AS pada Jun lenyap - Moody's Analytics - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harapan penurunan kadar faedah AS pada Jun lenyap - Moody's Analytics


KUALA LUMPUR: Kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) sebanyak 0.4 peratus pada Mac meleburkan harapan pengurangan kadar faedah AS pada Jun ini, kata penganalisis.

Moody's Analytics berkata, peningkatan kadar inflasi pada Mac melepasi jangkaan 0.3 peratus dan menjadikan kadar tahunan meningkat daripada 3.2 peratus kepada 3.5 peratus, tertinggi sejak September.

Ia berkata, tidak termasuk makanan dan tenaga, IHP teras meningkat 0.4 peratus pada Mac, sementara kadar IHP teras tahunan berada pada paras 3.8 peratus, sama seperti Februari.

Katanya, berdasarkan purata tahunan pergerakan tiga bulan, IHP teras berada pada paras 4.5 peratus pada Mac, tertinggi sejak awal 2023.

"Kenaikan 0.4 peratus IHP keseluruhan (AS) pada Mac berkemungkinan melenyapkan harapan pengurangan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Jun ini," katanya dalam nota penyelidikannya.

Moody's Analytics menjangkakan 0.2 peratus peningkatan dalam IHP teras dari Februari hingga Mac, lebih rendah berbanding konsensus.

Ia berkata, insurans kenderaan bermotor melonjak 2.6 peratus dari Februari hingga Mac, lebih besar berbanding sebarang peningkatan bulanan ketika krisis rantaian bekalan pada 2021 dan 2022.

Katanya, penyelenggaraan kenderaan bermotor dan harga pembaikan pula meningkat 1.7 peratus, lebih tinggi daripada jangkaan pihaknya.

Jelasnya, IHP untuk rawatan perubatan pula lebih tinggi daripada yang dijangkakan walaupun berada pada paras yang lebih rendah.

Ia berkata, walaupun hanya naik 2.1 peratus berbanding setahun yang lalu, inflasi penjagaan kesihatan semakin pantas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini