Harga emas dijangka naik lagi - OCBC - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas dijangka naik lagi - OCBC


KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi meneruskan aliran kenaikan ke paras tertinggi dalam sejarah sehingga AS$2,435 (RM11,608.90) seauns atau RM373.23 segram dalam tempoh sehingga ke pertengahan tahun hadapan.

Ahli Strategi OCBC, Christopher Wong, berkata harga emas diunjurkan dalam jajaran menaik bermula Jun 2024 hingga Jun 2025, dengan tinjauan konstruktif ke atas emas kekal.

Katanya, emas dijangka berada pada paras AS$2,285 (RM10,893.70 / RM350.24 segram) seauns pada Jun 2024, sebelum meningkat kepada AS$2,350 (RM11,203.60 / RM360.20 segram) pada September 2024; naik kepada AS$2,380 (RM11,346.60 / RM364.80 segram) pada Disember 2024; menokok kepada AS$2,410 (RM11,489.70 / RM369.40 segram) pada Mac 2025; dan meneruskan momentum kepada AS$2,435 (RM11,608.90 / RM373.23 segram) pada Jun 2025.

"Kami melihat pembetulan dalam harga emas adalah lebih rendah dan sepatutnya berlaku apabila Rizab Persekutuan (Fed) memulakan kitaran penurunan kadar faedah.

"Pandangan dalaman kami menjangkakan Fed akan memulakan kitaran penurunan kadar faedahnya pada Jun 2024 dengan jumlah pemotongan 100 mata asas (bps) untuk 2024 dan pemotongan 100bps lagi untuk 2025.

"Bukti sejarah sejak 2001 juga menunjukkan bahawa emas mengukuh apabila kitaran kenaikan kadar Fed berakhir dan meneruskan kenaikan harganya apabila kitaran penurunan kadar Fed sedang dilaksanakan," katanya dalam laporan penyelidikan pasaran global OCBC.

Wong berkata, selain Fed, bank pusat utama negara maju lain termasuk Bank Pusat Eropah (ECB), Bank of England (BoE), Bank Nasional Saudi (SNB) dan Bank of China (BoC) serta bank pusat negara membangun juga beralih kepada kitaran kadar faedah yang lebih longgar.

"Pelonggaran segera boleh meningkatkan lagi daya tarikan emas. Sebagai tambahan, kami juga menjangkakan lindung nilai risiko (proksi perlindungan selamat) emas terhadap risiko geopolitik dan sebagai kepelbagaian portfolio harus terus bermain lebih dominan dalam memacu harga emas," katanya.

Beliau berkata, risiko penurunan kepada prospek harga emas dilihat menerusi penolakan semula garis masa Fed untuk pemotongan kadar faedah pertama atau kuantum jauh lebih rendah daripada jangkaan.

"Selain itu, dalam senario penurunan mendadak dalam ketegangan geopolitik, permintaan untuk emas mungkin sedikit berkurangan.

"Walaupun prospek emas kami mungkin menaik, kami berhati-hati terhadap risiko penarikan semula dalam tempoh terdekat," katanya.

Selain itu, Wong berkata, pada satu tahap, kenaikan mendadak harga emas pada Mac juga sebahagiannya didorong oleh implikasi berpotensi yang mungkin timbul daripada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada November 2024.

Katanya, walaupun ia mungkin kelihatan tidak masuk akal pada ketika ini dengan tempohnya lebih daripada 6 bulan lagi, tetapi sekitar separuh pertama berakhir Mac menyaksikan bekas Presiden, Donald Trump memenangi pencalonan Republikan.

"Trump memenangi cukup perwakilan untuk menjadi calon presiden Republikan. Implikasi yang berpotensi ialah Trump mungkin memulakan pusingan baharu perang perdagangan ke atas China jika beliau menjadi presiden sekali lagi untuk penggal kedua, dan beliau baru-baru ini bercakap mengenai rancangan mengenakan tarif sebanyak 60 peratus atau lebih tinggi ke atas China.

"Kembali pada 2018-19 apabila perang perdagangan AS-China bermula dan meningkat, harga emas meningkat dengan ketara," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini