Ringgit boleh cecah RM4.58 berbanding dolar AS akhir 2024 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit boleh cecah RM4.58 berbanding dolar AS akhir 2024


KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit dijangka lebih baik apabila tindakan pelonggaran dasar kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) lebih jelas, demikian menurut Standard Chartered.

Ia berkata, pihaknya mempunyai tinjauan jangka sederhana yang positif bagi prestasi mata wang tempatan berbanding dolar AS.

Bank itu juga menjangkakan lebihan dagangan komoditi dan elektronik Malaysia akan bertambah baik, manakala deposit mata wang asing (FCY) yang tinggi di dalam negeri akan memberikan rangsangan sebaik saja pasaran mendapat kejelasan mengenai pelonggaran dasar oleh Fed.

"Kami menjangkakan ringgit berbanding dolar AS pada RM4.66 menjelang akhir suku kedua dan RM4.58 menjelang akhir 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Standard Chartered juga menyatakan pihaknya mempunyai idea dagangan aktif bagi ringgit berbanding peso Filipina.

Ia berkata, pihaknya berpendapat bahawa kerjasama aktif antara Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pemegang taruh juga menyokong ringgit.

"BNM berhubung secara aktif dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pengeksport pemastautin dan korporat untuk menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan asing dan lindung nilai aset asing.

"Ia juga sedang giat memantau penukaran hasil eksport. Kami melihat ini sebagai langkah sokongan ringgit yang penting," katanya.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Standard Chartered berkata, pihaknya menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar penanda aras bagi pinjaman dan deposit tempatan itu pada paras semasa yang panjang.

Ia berpendapat, bank pusat itu akan mengabaikan kenaikan inflasi keseluruhan utama yang didorong oleh perubahan pentadbiran dan rasionalisasi subsidi.

"Kami tidak menjangkakan peralihan dalam dasar monetari untuk menangani kelemahan tukaran asing (FX), yang mana pembuat dasar tidak melihatnya sebagai menjejaskan prospek pertumbuhan dan inflasi pada masa ini.

"Momentum pertumbuhan dan inflasi teras menyederhana pada suku tahunan kebelakangan ini, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat berada di bawah jangkaan," katanya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini