Ringgit ditutup rendah susulan indeks dolar AS kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah susulan indeks dolar AS kukuh


RINGGIT ditutup rendah pada Rabu berikutan Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih kukuh walaupun data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan semalam adalah rendah.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7765/7780 berbanding dolar AS daripada 4.7785/7820 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran berhati-hati terhadap sebarang kenyataan Rizab Persekutuan AS (Fed) semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) pada 30 April hingga 1 Mei.

"Oleh itu, data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijadual dikeluarkan pada 26 April akan dipantau dengan teliti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata IPP pembuatan AS yang dikeluarkan semalam menunjukkan penurunan kepada di bawah 50 mata pada April selepas kekal melebihi 50 mata sejak tiga bulan lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata PCE dianggap perkara makro penting minggu ini bagi pelabur.

"Justeru, ini telah mengehadkan kenaikan ringgit apabila unit tempatan berubah daripada paras harian tertinggi kepada kekal tidak berubah sehingga penutupan,” katanya.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0830/0840 daripada 3.0863/0887 ketika ditutup pada Selasa namun susut berbanding pound British kepada 5.9362/9381 daripada 5.9067/9110.

Mata wang tempatan juga turun berbanding euro kepada 5.1046/1062 daripada 5.0944/0981 semalam.

Ringgit juga didagangkan rendah berbanding mata wang negara Asean.

Unit tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.9004/9097 daripada 12.8887/9037 ketika ditutup semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5090/5104 daripada 3.5066/5095.

Ringgit hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.31 daripada 8.31/8.32 semalam dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 295.6/295.9 daripada 294.5/294.9. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini