Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi pada Isnin berbanding dolar AS berikutan keyakinan baharu mengenai prospek penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada September.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.6845/6880 berbanding dolar AS daripada 4.6865/6890 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemungkinan penurunan sebanyak 25 mata asas pada September meningkat kepada 50 peratus daripada 40 peratus pada bulan sebelumnya.

"Begitu juga, kemungkinan untuk penurunan kadar pada Disember naik kepada 62.1 peratus daripada hanya 42.5 peratus pada bulan sebelumnya," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya ringgit akan kekal positif dengan peserta pasaran akan meneliti minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan, yang akan dikeluarkan pada 23 Mei.

"Mungkin kita boleh mencari lebih banyak bukti dalam minit itu yang menyatakan pilihan kenaikan kadar tiada dalam senario mereka, sekali gus memberikan sokongan kepada status quo dan kemungkinan peralihan pendirian monetari apabila trend disinflasi berterusan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangka ringgit akan berada pada paras halangan 4.6870 berikutan petunjuk teknikal yang menunjukkan kepada kedudukan terlebih beli.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun, yang naik kepada 3.0046/0071 daripada 3.0071/0089 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan rendah berbanding euro kepada 5.0939/0977 daripada 5.0816/0843 dan merosot berbanding pound kepada 5.9503/9547 daripada 5.9303/9335 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, naik berbanding peso Filipina kepada 8.12/8.13 daripada 8.13/8.14 dan berbanding rupiah Indonesia kepada 293.5/293.9 daripada 293.6/294.0 sebelum ini.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4816/4847 daripada 3.4784/4806 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9765/9915 daripada 12.9390/9516.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini