Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati dalam masa terdekat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati dalam masa terdekat


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat berikutan pelabur terus memantau dengan teliti kemajuan ekonomi tempatan dan global pada masa depan, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata antara yang diperhatikan berkaitan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell yang jelas menyatakan bahawa kenaikan kadar bukan sebahagian daripada senario garis dasar bank pusat itu walaupun ia masih bimbang dengan kadar inflasi.

"Satu peristiwa penting minggu depan ialah mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 Mei, terutamanya mengenai penilaiannya terhadap perubahan dasar baru-baru ini dan prospek inflasi.

"Selain itu, siri Indeks Pengurus Pembelian, keputusan kadar faedah Reserve Bank of Australia dan data perdagangan China yang akan dikeluarkan minggu depan. Sehubungan itu, ringgit sepatutnya kekal sekitar RM4.73 hingga RM4.74 bagi setiap dolar AS minggu depan," katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.7370/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7650/7710 seminggu sebelumnya.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9487/9525 daripada 5.9644/9719 sepanjang minggu dan meningkat berbanding euro kepada 5.0890/0922 daripada 5.1157/1221 sebelum ini, tetapi ia merosot berbanding yen Jepun dari kepada 3.0947/09683 daripada 3.0408/0451.

Sementara itu, ringgit, diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding baht Thailand kepada 12.8723/8850 daripada 12.8902/9120 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.27 daripada 8.26/8.27 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 294.4/294.8 daripada 293.9/294.4 seminggu sebelumnya dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5027/5054 daripada 3.5021/5068.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini