Kelemahan ringgit antara faktor penurunan ranking daya saing Malaysia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kelemahan ringgit antara faktor penurunan ranking daya saing Malaysia


KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia seperti dilaporkan dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) tidak mencerminkan prestasi semasa daya saing negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata laporan itu adalah berdasarkan kepada data daripada indikator-indikator utama termasuk ringgit pada 2023, sekali gus menjadikan berlakunya jurang tahunan dengan prestasi semasa.

Beliau berkata, ringgit adalah salah satu indikator yang paling besar dalam kestabilan yang diukur oleh IMD kerana ia mempunyai kaitan langsung kepada produktiviti dan kecekapan.

"Seperti yang diketahui oleh semua pihak, ringgit adalah lemah pada 2023, jadi daya saing kita terjejas disebabkan itu, tetapi tahun ini ringgit semakin mengukuh dan kedudukan kita akan memberikan momentum yang lebih baik untuk WCR 2025 akan datang," katanya selepas merasmikan The Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution oleh Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, berdasarkan semakan pihaknya, indikator lain yang memberikan kesan kepada kejatuhan kedudukan negara dalam Laporan WCR yang dikeluarkan IMD itu adalah mengenai subsidi.

Beliau berkata, perbelanjaan subsidi oleh kerajaan pada tahun lalu melebihi peruntukan kewangan yang ditetapkan awal.

Katanya, peruntukan dalam belanjawan bagi kegunaan subsidi tidak menepati sasaran malah kerajaan terpaksa berbelanja lebih bagi tujuan itu.

"Perkara itu bagi IMD menunjukkan ketidakcekapan perbelanjaan kerajaan, walaupun pada hakikatnya hasrat kerajaan adalah ingin membantu rakyat.

"Ia menyebabkan markah kita turun, tetapi kita perlu tahu perbelanjaan melepasi peruntukan dalam subsidi itu adalah disebabkan peningkatan harga barang mentah global akibat konflik Ukraine-Russia pada tahun lalu.

"Tahun ini, selepas program rasionalisasi dan subsidi bersasar, ia akan membantu indikator perbelanjaan kerajaan itu," katanya.

Tengku Zafrul berkata, indikator lain yang memberikan penurunan skor kepada Malaysia adalah kejatuhan nilai eksport rentetan perdagangan global yang turut merundum, terutamanya apabila sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang merupakan antara eksport utama negara terjejas.

Beliau berkata, prestasi E&E yang terkesan itu bukan hanya dihadapi oleh Malaysia tetapi negara lain seperti Singapura.

Namun, katanya eksport ketika ini terutamanya E&E telah menunjukkan pertumbuhan dengan perdagangan naik melebihi 10 peratus pada Mei.

"Jika kita mengekalkan pertumbuhan perdagangan terutamanya dalam sektor E&E tahun ini, Malaysia akan mendapat markah yang lebih baik. Pada masa yang sama seperti saranan Perdana Menteri, negara perlu bergerak lebih pantas dan terus pastikan kita bertambah baik.

"Agensi di bawah MITI, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan terus memainkan peranan menyelaraskan produktiviti dengan semua kementerian, agensi, kerajaan negeri dan juga pihak swasta bagi memastikan daya saing negara terus dipacu," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini