Keuntung mata wang kripto boleh dikenakan cukai - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Keuntung mata wang kripto boleh dikenakan cukai


KUALA LUMPUR: Hasil atau keuntungan yang diperoleh daripada transaksi mata wang kripto boleh dikenakan cukai sebagai pendapatan perdagangan, jika aktiviti itu menunjukkan 'badges of trade' atau ciri-ciri petunjuk perdagangan.

Ia berbeza dengan cukai keuntungan modal yang kebiasaannya terpakai kepada hasil diperoleh daripada aktiviti jual beli saham.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata konsep 'badges of trade' digunakan dalam undang-undang cukai untuk menentukan sama ada sesuatu aktiviti dianggap sebagai perdagangan atau perniagaan, yang seterusnya mempengaruhi bagaimana keuntungan daripada aktiviti berkenaan dikenakan cukai.

Katanya, 'badges' adalah set petunjuk yang membantu membezakan antara perdagangan dan pelaburan, dengan enam faktor kebiasaannya menjadi penentu.

"Faktor pertama adalah kekerapan urus niaga. Jika pembayar cukai sering membeli dan menjual mata wang kripto, ia mungkin menunjukkan (ciri) perdagangan berbanding pelaburan.

"Kedua, niat untuk memperoleh keuntungan. Jika tujuan utama pembayar cukai membeli mata wang kripto adalah untuk memperoleh keuntungan daripada pelaburan jangka panjang, ia cenderung ke arah perdagangan.

"Ketiga, sifat aset iaitu mata wang kripto umumnya dianggap sebagai aset spekulatif, justeru urus niaga dalam aset seperti ini cenderung dianggap sebagai perdagangan," katanya kepada BH.

Mohd Fairuz berkata, faktor seterusnya adalah keterlibatan, yang mana tahap masa dan usaha dilakukan oleh pembayar cukai dalam perdagangan mata wang kripto boleh menunjukkan bahawa ia lebih daripada pelaburan bersifat santai.

"Selain itu, jika aktiviti perdagangan mata wang kripto pembayar cukai diatur dengan cara yang bersifat seperti perniagaan, iaitu dengan strategi dan pemantauan yang tetap, ia boleh menunjukkan (ciri) perdagangan.

"Terakhir, transaksi dengan tujuan memperoleh keuntungan. Jika transaksi pembayar cukai diatur untuk memperoleh keuntungan jangka pendek, ia lebih cenderung ke arah perdagangan berbanding pelaburan.

"Dalam banyak bidang kuasa, jika aktiviti pembayar cukai menunjukkan 'badges of trade' ini, keuntungan atau hasil yang mereka peroleh daripada transaksi mata wang kripto boleh dikenakan cukai pendapatan sebagai pendapatan perdagangan, bukannya cukai keuntungan modal seperti yang biasanya terpakai kepada pelaburan," katanya.

Justeru, katanya adalah penting untuk pembayar cukai berunding dengan penasihat cukai atau akauntan yang mahir dalam undang-undang cukai mata wang kripto dalam bidang kuasa berkaitan untuk memahami bagaimana prinsip ini terpakai secara khusus kepada situasi mereka.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini dilaporkan mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang terbabit dalam transaksi perdagangan mata wang kripto bagi mengurangkan ketirisan hasil cukai serta menambah baik pentadbiran cukai negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, dilaporkan berkata pihaknya sedang menyemak semula data pihak terbabit bagi menentukan nilai cukai yang mungkin dikenakan berikutan kekerapan transaksinya yang tinggi.

"Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan jika jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai," katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.

LHDN telah mengeluarkan Garis Panduan Percukaian Transaksi Perdagangan Elektronik (e-dagang) dikemas kini yang diterbitkan pada 13 Mei 2019.

Garis panduan itu terpakai kepada mana-mana orang yang memperoleh atau melupuskan mata wang digital serta terbabit dalam perniagaan mata wang digital seperti perdagangan, perlombongan dan pertukaran mata wang digital.

Menurut garis panduan itu, secara amnya, kebolehcukaian ke atas urus niaga mata wang digital di Malaysia adalah berdasarkan Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, di mana pendapatan mana-mana orang yang terakru di dalam atau diperolehi dari Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia adalah dikenakan cukai.

Data yang dikeluarkan oleh platform data blockchain Chainalysis baru-baru ini menyatakan bahawa pelabur Malaysia dianggarkan meraih untung AS$180 juta (RM848 juta) daripada pasaran mata wang kripto tahun lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini