Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin selepas data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang lebih tinggi yang dikeluarkan pada Jumaat lalu dijangka meningkatkan mata wang negara maju itu.

Pada 9.06 pagi, ringgit merosot kepada 4.7150/7200 berbanding dolar AS daripada 4.6900/6940 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata laporan NFP pada Mei menunjukkan sebanyak 272,000 pekerjaan baharu pada bulan terbabit, mengatasi unjuran konsensus sebanyak 182,000.

Beliau berkata, purata pendapatan mingguan AS juga tinggi kepada 4.1 peratus tahun ke tahun pada Mei daripada 4.0 peratus sebelum ini, memberikan gambaran bahawa pertumbuhan gaji masih berdaya tahan.

"Sehubungan itu, ringgit akan kekal rendah berikutan pasaran menunggu keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 12 Jun, terutamanya pembolehubah makroekonomi terkini mereka," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, walaupun NFP dilihat kukuh, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (LFPR) merosot kepada 62.5 peratus pada Mei selepas kekal pada 62.7 peratus selama dua bulan berturut-turut, menunjukkan pasaran buruh AS tidak begitu teguh berikutan orang ramai memilih untuk keluar daripada pasaran buruh.

Justeru, penilaian terkini oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai keadaan pasaran buruh adalah penting kerana ini akan mewajarkan keputusannya untuk mengekalkan atau melonggarkan dasar monetari yang ketat yang sedang dilaksanakan.

"Peralihan ke arah kecenderungan melonggarkan dasar akan menaikkan ringgit," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0066/0100 daripada 3.0163/0190 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding pound kepada 5.9994/6.0057 daripada 6.0009/0060 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 5.0814/0867 daripada 5.1079/1122 minggu lalu.

Ia turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7743/7944 daripada 12.8465/8627 pada Jumaat lepas dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4861/4901 daripada 3.4872/4905 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.04 daripada 8.01/8.02 minggu lalu dan susut kepada 291.1/291.5 berbanding rupiah Indonesia daripada 289.5/289.9 pada Jumaat lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini