Ringgit dijangka diniaga rendah berbanding dolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dijangka diniaga rendah berbanding dolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS minggu depan, kembali kepada paras RM4.70 atau lebih rendah, selepas data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan mencatatkan lebih kukuh daripada jangkaan, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata kenaikan NFP yang melebihi jangkaan itu dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap dolar AS.

Prospek jangka pendek untuk ringgit sebelum ini dilihat sebagai positif, dengan penganalisis menjangka mata wang tempatan akan kekal di bawah 4.70 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, laporan NFP pada Mei, yang menunjukkan 272,000 pekerjaan baharu pada bulan tersebut berbanding unjuran konsensus sebanyak 182,000 telah mengubah perspektif tersebut, katanya kepada Bernama.

"Pasaran akan menilai data baharu yang dikeluarkan dan langkah-langkah prospektif yang diambil oleh AS, terutamanya selepas bank-bank pusat mula menurunkan kadar faedah.

"Mereka akan melihat kepada NFP dan data ekonomi lain, yang sebelum ini menunjukkan prestasi sektor pembuatan AS lemah, laporan pekerjaan AS pada April, laporan pengambilan pekerja AS oleh majikan swasta pada Mei dan tuntutan pengangguran awal," katanya.

Mohd Afzanizam berkata pasaran akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang akan datang dijadualkan pada 11-12 Jun depan.

Katanya walaupun Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka mengekalkan kadar tidak berubah, unjuran makroekonomi terkini Fed akan menjadi tumpuan utama.

"Ini terutamanya, unjuran untuk Kadar Dana Fed – sama ada mereka akan mengikut perancangan mereka untuk menurunkan kadar pada tahun ini. Ini akan menjadi panduan dan akan menentukan sentimen pasaran dalam tempoh terdekat," katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit naik kepada 4.6900/6940 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7080 minggu lepas.

Pada minggu dagangan yang singkat yang baru berakhir, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding pound kepada 6.0009/0060 daripada 5.9876/9914 pada Jumaat lepas, susut berbanding euro kepada 5.1079/1122 daripada 5.1035/1068 pada minggu sebelumnya dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.0163/0190 daripada 2.9901/9922.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan naik berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.02 daripada 8.03/8.05 pada minggu sebelumnya dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8465/8627 daripada 12.7860/7994 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 289.5/289.9 daripada 289.4/289.7 pada Jumaat lepas dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4872/4905 daripada 3.4803/4828.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini