Ringgit ditutup rendah disebabkan kekurangan minat belian - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah disebabkan kekurangan minat belian


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan kekurangan minat belian sementara Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) mencatatkan kenaikan, melepasi paras 105 mata.

Penganalisis berkata, keuntungan DXY, pertama kali direkodkan sejak 29 Mei 2024, dipengaruhi oleh data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS lebih kukuh yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.7210/7250 berbanding dolar AS daripada 4.6900/6940 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berkata NFP minggu lalu telah mengubah haluan dolar AS kerana peserta pasaran membuat kesilapan disebabkan bersikap berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berlangsung pada 11 hingga 12 Jun minggu ini.

"Ringgit didagangkan sekitar 4.7180 selepas berlegar sekitar 4.7000 dalam beberapa minggu lalu. Sama ada trend itu akan berterusan atau sebaliknya, ia bergantung kepada unjuran ekonomi terkini Rizab Persekutuan (Fed)," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.0089/0117 daripada 3.0163/0190 pada Jumaat lalu, meningkat berbanding pound kepada 5.9943/9993 daripada 6.0009/0060 sebelumnya, melonjak berbanding euro kepada 5.0722/0765 daripada 5.1079/1122.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Unit tempatan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.04 daripada 8.01/8.02 ketika ditutup pada Jumaat, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4875/4907 berbanding 3.4872/4905 dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 289.9/290.3 daripada 289.5/289.9 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8211/8372 daripada 12.8465/8627 minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini