Ringgit hadapi cabaran besar pada suku pertama 2024 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit hadapi cabaran besar pada suku pertama 2024


KUALA LUMPUR: Ringgit berdepan cabaran yang ketara pada suku pertama 2024, sebahagian besarnya disebabkan diskaun besar antara kadar dasar Bank Negara Malaysia (BNM) dan kadar Dana Persekutuan AS, demikian menurut Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).

Ia berpendapat bahawa walaupun inflasi kekal secara relatifnya rendah, berlegar di bawah dua peratus sejak enam bulan lalu serta menunjukkan sedikit petunjuk peningkatan ketara, namun kelemahan mata wang menjadi penghalang kepada BNM untuk melonggarkan dasar bagi menyokong ekonomi.

"Cabaran ini berterusan sehingga Rizab Persekutuan (Fed) memulakan pemotongan kadar, dijangka berlaku pada suku ketiga, mengurangkan tekanan ke atas ringgit dan berpotensi membolehkan pelarasan kadar dasar," katanya dalam satu kenyataan.

Dari segi penggunaan domestik di rantau ini, ICAEW berkata bagi Asia Tenggara, ia berdaya tahan daripada jangkaan pada suku pertama 2024, namun, ia tidak mungkin memacu pertumbuhan pada suku akan datang berikutan dasar monetari yang ketat di rantau ini dijangka akan mengekang perbelanjaan pengguna.

"Kelemahan berterusan mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan akan mengehadkan langkah pelonggaran dasar monetari bank pusat Asia Tenggara.

"Pengukuhan dolar AS, yang dipacu oleh kadar faedah yang tinggi Fed AS menghalang bank pusat tempatan daripada menurunkan kadar faedah tanpa mengambil risiko penyusutan mata wang selanjutnya," katanya.

Malah, ia memaklumkan pada suku pertama 2024, Bank Indonesia terpaksa menaikkan kadar faedah untuk menghalang penyusutan rupiah.

"Dasar monetari ketat yang berterusan bermakna kos khidmat hutang dan pinjaman akan kekal tinggi, berkemungkinan mengekang penggunaan swasta.

"Tambahan lagi, kebanyakan pengguna dan perniagaan sedang pulih daripada pandemik dan kini fokus untuk mengumpul simpanan atau membaiki lembaran imbangan dalam jangka pendek," katanya.

Sementara itu, ICAEW berkata Malaysia dijangka menerima manfaat daripada pemulihan sektor elektronik pada separuh kedua tahun ini memandangkan kedudukannya lebih rendah dalam rantaian nilai industri elektronik.

Institut itu berkata, sektor elektronik Asia Tenggara diunjur berkembang sebanyak empat peratus pada 2024 dan 2025.

"Bagaimanapun, unjuran itu adalah di bawah purata sebelum pandemik sebanyak lima peratus, disebabkan jangkaan cabaran dalam penggunaan domestik berikutan kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh yang lama," katanya.

Menurut persatuan itu, pengeksport yang bertumpu dalam elektronik di Asia Tenggara berada pada kedudukan yang lebih baik pada suku pertama tahun ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan dalam sektor elektronik.

"Pemulihan dalam jualan semikonduktor global, yang menyaksikan peningkatan 15.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024, telah memberi manfaat kepada Vietnam terutamanya, apabila pertumbuhan eksport berkembang kepada kira-kira 16.8 peratus tahun ke tahun.

"Bagi asas pelarasan bermusim, eksport domestik bukan minyak Singapura menyaksikan pemulihan dengan anggaran pertumbuhan 9.4 peratus tahun ke tahun pada April, menandakan perubahan positif selepas penguncupan dua bulan berturut-turut," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini