Baht menerajui penurunan mata wang Asia berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Baht menerajui penurunan mata wang Asia berbanding dolar AS


BENGALURU: Mata wang Asia yang sedang pesat membangun susut dalam dagangan yang lengang hari ini, dengan baht Thailand mendahului penurunan, disebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) kekal kukuh dan data China menunjukkan pemulihan tidak sekata dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Dagangan hambar di seluruh Asia kerana pasaran ditutup di Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina dan India.

Baht Thailand jatuh sehingga 0.5 peratus, menjejaki kelemahan harga emas, manakala won Korea Selatan dan dolar Taiwan didagangkan lebih rendah sedikit.

"Untuk baht Thailand khususnya, mungkin terdapat beberapa tekanan daripada aliran berkaitan emas kerana harga emas telah bergerak lebih rendah daripada paras Jumaat," kata Poon Panichpibool, pakar strategi pasaran dari Krung Thai Bank.

Selain itu, pergolakan politik dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu berkemungkinan lebih membebankan asetnya, termasuk kes mahkamah yang berpotensi membawa kepada pemecatan Perdana Menteri.

"Peningkatan dalam ketidaktentuan politik telah menjejaskan sentimen pelabur, dengan pasaran mata wang dan ekuiti Thailand antara prestasi paling buruk di rantau ini setakat tahun ini," kata penganalisis dari ANZ dalam nota pelanggan,

Panichpibool dari Krung Thai Bank berkata, baht boleh menghadapi lebih banyak tekanan daripada aliran keluar dana asing kerana pergolakan politik akan menghalang pelabur asing daripada membeli aset Thailand, walaupun saham dan bonn dilihat mempunyai penilaian yang agak menarik.

Sementara itu, yuan China didagangkan tidak berubah manakala saham turun kira-kira 0.6 peratus, apabila pelabur mencerna data yang lebih lemah daripada jangkaan yang menunjukkan sektor hartanah kekal terjejas, dan People's Bank of China mengekalkan kadar dasar utama seperti yang dijangkakan.

Di peringkat global, pelabur sedang menunggu angka jualan runcit AS bagi Mei esok dalam minggu untuk mendapatkan petunjuk tempoh bank pusat akan mengurangkan faedah tahun ini.

Rizab Persekutuan (Fed) minggu lalu mengeluarkan unjuran terkini yang menunjukkan ramalan median daripada semua 19 bank pusat AS merujuk kepada pemotongan kadar sekali tahun ini.

Indeks dolar, yang mengukur kekuatan dolar AS, stabil pada 105.54.

Kebanyakan pasaran saham Asia susut, dengan Seoul jatuh kira-kira 0.5 peratus.

Bagaimanapun, saham Hyundai Motor melonjak sebanyak 6.3 peratus untuk mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun selepas pembuat kereta itu mendedahkan rancangan untuk menyenaraikan anak syarikatnya di India di Mumbai.

Dalam pasaran lain, Bangkok jatuh 1.2 peratus untuk berlegar berhampiran paras terendah November 2020, Tokyo turun 2.1 peratus dan Taipei susut 0.1 peratus.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini