Ringgit jatuh kepada RM4.71 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh kepada RM4.71 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat apabila Indeks dolar Amerika Syarikat (DXY) naik semula melebihi 105 mata dan apabila Bank of Japan (BOJ) mengekalkan kadar faedah, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.7190/7225 berbanding dolar AS daripada 4.7070/7110 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan hari ini adalah pada keputusan dasar monetari BOJ dan pasaran nampaknya kecewa dengan kekurangan maklumat oleh bank pusat Jepun itu mengenai rancangan pengetatan kuantitatifnya.

"Pasangan dolar Amerika Syarikat (AS)/yen Jepun meningkat kepada lebih 158 yen sebelum menetap sekitar 157.75 yen.

"Keputusan terbaharu BOJ pastinya memberi kesan positif kepada dolar AS kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) dilihat sebagai satu-satunya bank pusat utama yang tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, DXY meningkat 0.29 peratus kepada 105.503 mata dan seterusnya ringgit kekal lemah.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.0418/0455 daripada 5.0840/0884 ketika ditutup pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.9955/9999 daripada 6.0160/0211 bagaimanapun merosot berbanding yen kepada 3.0046/0072 daripada 2.9945/9972 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ringgit melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 287.5/287.8 daripada 289.2/289.6 pada penutupan Khamis, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8328/8475 daripada 12.8386/8540 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4857/4886 daripada 3.4887/4920 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia turun berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.05 daripada 8.03/8.04 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini