BENGALURU: Harga emas hari ini naik ke paras tertinggi dalam sejarah, berikutan kenyataan terbaharu daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan jangkaan bahawa akan berlaku penurunan kadar faedah AS pada September.
Kontrak semasa emas naik 0.1 peratus kepada AS$2,470.89 seaun atau RM371.31 satu gram setakat 0046 GMT, selepas mencapai rekod tertinggi AS$2,473.18 satu aun atau RM371.66 satu gram pada awal sesi.
Niaga hadapan emas AS meningkat 0.3 peratus kepada AS$2,473.70.
Pasaran mengambil kira pengurangan kadar sekurang-kurangnya 25 mata asas oleh Fed pada mesyuarat September, menurut FedWatch Tool CME.
Kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos peluang untuk memegang jongkong bukan hasil.
Pengerusi Fed AS, Jerome Powell pada Isnin lalu berkata, bacaan inflasi baru-baru ini 'menambah sedikit keyakinan' bahawa kadar kenaikan harga kembali ke sasaran Fed secara mampan, kenyataan yang mencadangkan perubahan kepada penurunan kadar tidak lama lagi.
Gabenor Fed, Adriana Kugler semalam juga menyatakan keyakinan berhati-hati bahawa inflasi kembali kepada sasaran bank pusat AS dua peratus.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam berkata bahawa ekonomi global dijangka untuk berkembang sederhana dalam tempoh dua tahun akan datang di tengah-tengah keredaan di AS, tahap terendah di Eropah dan penggunaan dan eksport yang lebih kukuh untuk China, tetapi risiko masih ada.
SPDR Gold Trust, dana dagangan bursa bersandarkan emas terbesar di dunia, berkata pegangannya meningkat 0.66 peratus kepada 842.02 tan pada Selasa berbanding 836.53 tan pada Isnin.
Kontrak semasa perak jatuh 0.4 peratus kepada AS$31.26 seaun, platinum mengukuh 0.1 peratus kepada AS$1,000.62 dan paladium naik 0.4 peratus kepada AS$963.22.