KUALA LUMPUR: Ringgit, baht Thailand dan won Korea Selatan adalah mata wang bertindak balas paling sensitif terhadap dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang negatif, demikian menurut Standard Chartered (StanChart).
Bank terkemuka dunia itu dalam satu nota penyelidikan global berkata, retorik politik AS menjurus ke arah dasar perdagangan yang negatif terhadap China, sekali gus menyaksikan Asia khususnya berdepan kesan negatif jangka pendek.
"Asia menghadapi kesan negatif jangka pendek terhadap pertumbuhan dan sentimen perdagangan memandangkan kepentingan ekonomi China, walaupun hala tuju perdagangan diselaraskan semula dalam jangka sederhana," katanya.
StanChart berkata, ekonomi yang dipacu penggunaan domestik seperti Filipina, Indonesia dan India bagaimanapun berkemungkinan kurang sensitif terhadap dasar perdagangan AS.
"Namun, ASEAN mungkin berdepan dengan sentimen pertumbuhan akibat dasar yang mengganggu antara dua ekonomi terbesar dunia itu kerana kebergantungan rantau ini terhadap dagangan dengan AS dan China," katanya.
Bank itu turut meneliti potensi kesan pilihan raya AS ke atas mata wang serantau berdasarkan pelbagai petunjuk membabitkan potensi proksi yang memberi impak kepada dasar perdagangan negatif termasuk perubahan dalam dagangan pasaran luar pesisir dolar AS berbanding yuan China.
"Kami melihat impak ke atas pertukaran asing daripada perubahan dasar monetari AS dengan indeks dolar sebagai panduan.
"StanChart menganggap pemotongan kadar faedah kurang daripada jangkaan oleh Rizab Persekutuan (Fed) sebagai kos import yang lebih tinggi susulan kenaikan tarif dan langkah fiskal longgar yang berterusan yang telah meningkatkan tekanan inflasi.
"Disebabkan langkah kurang memberangsangkan Fed ini, ia mungkin sekali lagi menjadi pemacu ke arah perbezaan kadar faedah," katanya.
Berdasarkan unjuran kadar dasar menjelang akhir 2024, StanChart berkata, kadar faedah AS kekal lebih tinggi daripada kebanyakan ekonomi serantau.
Katanya, hanya Filipina, Indonesia dan India berkemungkinan memiliki kadar faedah yang lebih tinggi meskipun ia dilaporkan rendah daripada paras tertingginya.
Mengenai dasar fiskal, StanChart berkata defisit dan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi akan terus menyokong pengukuhan dolar AS, dengan rupiah, ringgit dan baht Thailand, yang termasuk dalam indeks bon akan lebih sensitif terhadap perubahan dalam hasil AS berbanding bon sendiri.
"Situasi di mana hasil Perbendaharaan AS meningkat lebih tinggi disebabkan kebimbangan bekalan atau perubahan dasar monetari AS," katanya.