KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang semakin mengukuh pada masa ini memberi petunjuk bahawa usaha dilaksanakan kerajaan semakin baik dan positif kepada negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.
Beliau berkata, anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.8 peratus bagi suku kedua 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga adalah sesuatu yang memberangsangkan.
Katanya, Kementerian Ekonomi yakin bahawa secara keseluruhan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024 dijangka berkembang kukuh seperti yang diunjurkan.
"Jika kita lihat sekarang ini prestasi ringgit semakin mengukuh. Justeru, kita yakin bahawa usaha kita buat menyebabkan pelabur dan penganalisis ekonomi semakin menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi negara," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Nor Azmie berkata, kerajaan juga berusaha dalam mencapai trajektori pertumbuhan ekonomi negara enam peratus setiap tahun.
Beliau berkata, melihat kepada usaha dilaksanakan sejak dua tahun lalu, ia memberi momentum yang baik kepada ekonomi.
"Jika kita lihat usaha kita dalam hal ekonomi, teknologi menjadi agenda besar kepada kita sama ada dalam hal bakat, pelaburan. Ini semua kita selarikan dengan hala tuju Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
"Kita sudah membuat perancangan berdasarkan cabaran dan ia dengan sendirinya memberi keyakinan kepada penganalisis ekonomi, kepada pelabur. Ia suatu petunjuk dan petanda yang sangat baik kepada ekonomi negara," katanya.
Mengulas lanjut, Nor Azmie berkata, kerajaan juga berusaha dalam mencapai trajektori pertumbuhan ekonomi negara dalam anggaran antara lima hingga enam peratus setahun.
Anggaran awal yang dikeluarkan DOSM menunjukkan KDNK negara dijangka berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, mengatasi unjuran pasaran dengan konsensus, yang umumnya menjangkakan pertumbuhan sekitar 4.7 peratus pada suku itu.
Perangkaan rasmi KDNK bagi suku kedua 2024 bagi Malaysia dijangka diumumkan pada 16 Ogos.
JPMorgan pada bulan lalu juga dilaporkan menaikkan penarafannya bagi Malaysia kepada 'neutral' selepas hampir enam tahun berada pada penarafan 'di bawah wajaran' didorong perkembangan positif seperti pembaharuan dasar, pelaburan pusat data dan pembangunan infrastruktur.
Syarikat kewangan multinasional itu berkata, pertumbuhan KDNK 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini, di samping pertumbuhan pendapatan hampir menjejaki 10 peratus hingga 11 peratus, membolehkan Malaysia berhak mendapat pujian di atas peningkatan yang bermakna itu.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS dengan meningkat mencecah paras 4.4000 pada Isnin minggu lalu, didorong oleh laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) bagi Julai yang kurang memberangsangkan.
Pada Jumaat lalu, ringgit ditutup pada paras 4.4200/4280 berbanding dolar AS.