KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kenyataannya mengenai ringgit baru-baru ini telah disalah erti.
Beliau berkata, apa yang dimaksudkan ringgit bukanlah mata wang paling kuat di Asia, sebaliknya ringgit adalah mata wang yang mencatatkan kadar peningkatan paling kuat di rantau ini.
"Yang saya singgung tadi rencana yang tidak lihat ucapan saya sebenar yang menyebut peningkatan kadar ringgit menyebabkan ringgit terkuat di Asia.
"Bukan (nilai) ringgit itu yang terkuat. (Jadi) kalau nak tegur boleh, tetapi rujuk kenyataan yang benar," katanya ketika ditemui media selepas meluncurkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini, hari ini.
Di sebalik kekeliruan itu, Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa pengukuhan ringgit akan terus meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
Anwar baru-baru ini berkata, nilai ringgit berada di landasan terbaik dalam tempoh 14 tahun kerana usaha bersama seluruh rakyat Malaysia.
Dalam ucapannya pada Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR Sabah di Kota Kinabalu, Anwar memberi penghargaan kepada dasar-dasar kerajaan dan hubungan diplomatik serta ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan negara lain.