KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh pada 4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencecah paras tertinggi hampir 28 bulan, apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) berada di landasan untuk penurunan kadar faedah, kata seorang penganalisis.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 205 peratusan mata (pip) kepada 4.3515/3700 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 pada penutup Jumaat lalu.
Paras penutupan tertinggi ringgit sebelum ini ialah 4.3520/3570, dicatatkan pada 29 April 2022.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ucapan pengerusi Fed, Jerome Powell semasa Simposium Jackson Hole, Jumaat lalu menunjukkan peralihan dasar daripada membendung risiko inflasi yang lebih tinggi kepada mengelakkan penurunan selanjutnya dalam pasaran buruh.
"Powell benar-benar jelas dalam ucapannya, mengatakan bahawa masanya telah tiba untuk dasar itu diselaraskan.
"Berdasarkan itu, hampir pasti mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17 hingga 18 September akan menyaksikan Fed memulakan pelonggaran monetarinya," katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS dan mungkin bergerak ke arah paras sokongan segeranya pada RM4.3000 hari ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.0231/0362 daripada 2.9914/9956 pada penutup pada Jumaat, susut berbanding euro kepada 4.8689/8896 daripada 4.8604/8665 pada akhir minggu lalu, dan susut nilai berbanding pound British kepada 5.7501/7745 daripada 5.7391/7463 sebelumnya.
Sebaliknya, ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/282.2 daripada 282.1/282.7 pada penutup Jumaat dan meningkat berbanding peso Filipina pada 7.71/7.75 daripada 7.75/7.76 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3447/3595 daripada 3.3410/3454 pada Jumaat dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8106/8734 daripada 12.7575/7810.