KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka dapat menguji paras sokongan sekitar RM4.30 hingga RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa minggu menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) bulan depan, kata AmBank Group.
Ia berkata, pihaknya percaya ringgit kini bersedia untuk mengukuh lagi bagi mencerminkan asas Malaysia yang kukuh.
"Paras sokongan baru-baru ini pada RM4.30 hingga RM4.40 mencadangkan ringgit boleh menguji paras sokongan itu dalam beberapa minggu akan datang menjelang mesyuarat Fed pada September," katanya dalam nota penyelidikannya.
AmBank Group juga berpandangan bahawa ringgit tidak mungkin melemah kembali ke paras RM4.60 memandangkan perbezaan kadar antara Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Kadar Dana Persekutuan (FFR) semakin mengecil.
Bagaimanapun, pihaknya mengambil sikap berhati-hati terhadap ringgit kerana ia terdedah kepada faktor risiko penurunan yang kebanyakannya datang dari bahagian luar.
Antaranya ialah peningkatan ketegangan geopolitik Asia Barat, yang boleh mendorong pedagang ke arah dolar AS yang lebih selamat dan risiko yang berkaitan dengan pilihan raya AS kerana kemungkinan Donald Trump boleh meningkatkan risiko peningkatan dasar perlindungan atau dasar yang tidak dapat dijangkakan, katanya.
Jelasnya, langkah perlindungan AS akan diterjemahkan kepada ringgit yang lebih lemah kerana Malaysia mempunyai pendedahan perdagangan yang tinggi dengan China.
"Mengenai risiko ini, diimbas kembali bahawa ringgit melemah sekitar 7.0 peratus hingga 8.0 peratus dari 9 November 2016 (semasa Trump diumumkan memenangi pilihan raya) sehingga penghujung Disember 2016.
"Jika prestasi yang sama akan diulang tahun ini, kita mungkin melihat ringgit melemah kembali kepada serendah RM4.70.
"Walau bagaimanapun, memandangkan kita telah melihat beberapa dinamik 'perdagangan Trump' beberapa minggu yang lalu, kami fikir kesannya tidak akan seteruk seperti sebelum ini," katanya.
Bagi tinjauan separuh kedua tahun ini, AmBank Group berkata, terdapat faktor untuk menyokong ringgit pada separuh kedua 2024 dan mengekang mata wang tempatan itu daripada melemah.
Ia berkata, asas ekonomi negara yang utuh menyokong ringgit dengan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2024 berkembang mengatasi jangkaan 5.9 peratus.
"Jika momentum itu berterusan dalam suku tahunan berikutnya, kami percaya sasaran pertumbuhan 4.5 peratus bagi tahun kewangan 2024 boleh mencecah paras tinggi dalam julat unjuran rasmi 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.
"Tambahan pula, akaun semasa Malaysia masih berada dalam lebihan di tengah-tengah kemerosotan dalam eksport kasar berikutan permintaan yang lemah dalam kalangan rakan dagang Malaysia.
"Dengan data/bukti perdagangan luaran yang lebih tepat pada masanya menunjukkan pemulihan yang akan berlaku dalam perdagangan global, kami berpendapat lebihan akaun semasa akan kekal disokong," katanya.
AmBank Group menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah menjelang akhir tahun ini berikutan kadar inflasi yang terurus dan penggunaan swasta stabil menjamin Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan neutral terhadap dasar monetarinya.
Ia berkata, pemulihan dalam perdagangan global akan terus mendorong pertumbuhan domestik tetapi mungkin dihadkan oleh pertumbuhan sederhana dalam kalangan ekonomi maju dan China.
"Kami percaya bahawa kecenderungan menaik terhadap OPR (seperti semakan gaji kakitangan awam, semakan gaji minimum berkanun, pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Gaji Progresif) adalah seimbang dengan halangan pertumbuhan luaran dan kemungkinan pelaksanaan penuh rasionalisasi subsidi.
"Kami cenderung untuk meneruskan tinjauan OPR 3.0 peratus kami ke 2025 berdasarkan maklumat yang ada," katanya.