Ringgit catat kenaikan harian terbesar dalam sembilan tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit catat kenaikan harian terbesar dalam sembilan tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan kenaikan harian terbesar dalam tempoh sembilan tahun dan paras tertinggi sejak April 2023, disokong jangkaan kemasukan besar-besaran dana asing ke pasaran tempatan di tengah-tengah tahap keyakinan tinggi terhadap perkembangan ekonomi tempatan.

Pada jam 6 petang tadi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4240/4305 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat lalu 4.4945/4995.

Prestasi positif dan mendadak itu menjadi kenaikan kukuh berterusan ringgit berbanding dolar AS selama 11 hari berturut-turut.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit turut dipacu faktor luaran merangkumi kelembapan dalam pasaran buruh di AS, yang mana kadar pengangguran meningkat secara beransur-ansur ke paras 4.3 peratus pada Julai berbanding 3.8 peratus pada Mac tahun ini.

"Sebelum itu, data sentimen perniagaan iaitu ISM Index bagi sektor pembuatan merosot ke paras 46.8 mata pada Julai yang lalu dan telah berlegar di bawah paras 50 mata untuk tempoh empat bulan berturut-turut.

"Disebabkan prestasi ekonomi AS yang dilihat semakin lemah, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka memulakan fasa pengurangan kadar faedah pada September nanti. Sekiranya ini berlaku maka perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan mengecil dan situasi menandakan bahawa prospek pulangan pelaburan di Malaysia dijangka lebih baik terutamanya jika Fed mengurangkan kadar faedah dengan lebih agresif lagi," katanya kepada BH.

Mohd Afzanizam berkata, kenaikan ringgit ketika ini juga jelas menunjukkan bahawa nilai mata wang tempatan yang dianggap terkurang nilai bagi tempoh yang agak lama, mula menunjukkan minat belian dalam kalangan pelabur.

"Keadaan terkurang nilai ini menandakan bahawa ringgit mempunyai potensi untuk meningkat lagi pada masa akan datang. Selain itu, pasaran saham Malaysia juga mempunyai prospek pertumbuhan keuntungan yang lebih baik tahun ini yang menyebabkan belian pelabur asing telah pun meningkat.

"Ditambah pula usaha kerajaan untuk memperbaiki kedudukan kewangan dengan merasionalisasikan subsidi bahan api, peningkatan kadar cukai perkhidmatan, pengenalan cukai barangan bernilai rendah serta e-Invois.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan begitu komited memastikan kedudukan kewangan terus kukuh dan membuka ruang untuk berbelanja kepada perkara yang mendatangkan produktiviti yang tinggi dalam jangka masa sederhana dan panjang," katanya.

Beliau menjelaskan, ringgit memiliki momentum untuk terus meningkat berdasarkan perbezaan kadar faedah di antara AS dan Malaysia akan mengecilkan.

"Ini menunjukkan prospek pulangan pelaburan di Malaysia dijangka lebih menarik pada masa akan datang disebabkan jangkaan BNM akan terus mengekalkan Kadar dasar Semalaman (OPR) serta Fed pula akan mengurangkan kadar faedah seawal September nanti.

"Selain itu, komitmen kerajaan untuk melakukan proses konsolidasi fiskal bakal memberi kesan positif terhadap penarafan kredit disebabkan defisit fiskal akan terus menguncup. Ini sekali gus dapat menstabilkan kadar hutang kerajaan.

"Sekiranya proses konsolidasi fiskal ini dapat diteruskan dengan konsisten, kemungkinan penarafan kredit terhadap penarafan berdaulat (sovereign rating) untuk dinaikkan sememangnya ada.

"Perkara ini sudah pasti menggalakkan lagi pelabur portfolio asing akan terus memasuki dan membeli instrumen kewangan seperti bon dan saham di negara kita," katanya.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata kenaikan ringgit dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang berbanding dolar AS bakal membantu menahan lonjakan harga barang terutamanya yang diimport yang mencecah lebih RM60 bilion setahun ketika ini.

"Ini membantu mengawal kadar inflasi dan kos sara hidup daripada terus naik, selain mengurangkan tekanan kepada rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memandangkan barangan seperti daging yang diimport hampir 80 peratus daripada penggunaan domestik, bawang, sayur-sayuran dan buah-buahan yang kebanyakannya diimport dari negara jiran di mana mata wangnya juga turut mengukuh," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini