Ringgit jatuh menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan esok - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan esok


KUALA LUMPUR: Ringgit menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup hari ini menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell esok di Simposium Jackson Hole.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada paras 4.3760/3800 berbanding dolar AS daripada 4.3750/3830 yang disaksikan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menekankan bahawa tumpuan utama adalah pada ucapan Powell semasa Jumaat nanti, yang mana peserta pasaran akan mencari petunjuk mengenai jangkaan pemotongan kadar faedah AS, yang mungkin berlaku pada bulan depan.

"Minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 30 hingga 31 Julai yang dikeluarkan malam tadi telah menunjukkan kesediaan jawatankuasa itu bagi memulakan pemotongan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

AmBank Economic Research pula kekal optimistik mengenai potensi ringgit untuk mengukuh berbanding dolar AS, mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang mantap.

Firma itu beranggapan tahap RM4.30 hingga RM4.40 baru-baru ini boleh diuji semula dalam minggu-minggu akan datang menjelang mesyuarat Fed yang dijadualkan bulan depan, yang mana pasaran secara meluas menjangkakan pemotongan kadar pertama.

"Selain itu, kami percaya ringgit tidak mungkin mengulangi semula keuntungannya baru-baru ini dan melemah melepasi paras 4.60, disebabkan perbezaan kadar dasar semalaman (Malaysia) dan Kadar Dana Persekutuan yang terus mengecil," katanya dalam separuh kedua laporan tinjauan makroekonomi 2024.

Pada penutup, ringgit merosot berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.0051/0082 daripada 29943/3.000, melemah berbanding euro kepada 4.8744/8789 daripada 4.8637/8726 dan jatuh berbanding pound British kepada 5.7431/74893 daripada 5.6993/7097 sebelum ini.

Ia juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan itu juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3474/3507 daripada 3.3456/3519, kurang bermaya berbanding peso Filipina pada 7.76/7.78 daripada 7.74/7.76 dan jatuh berbanding berbanding baht Thailand kepada 12.7383/7552 daripada 12.7373/7676 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.4/280.9 daripada 282.2/282.9

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini