Ringgit mengukuh kepada RM4.47 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh kepada RM4.47 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh semula dan ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh dolar yang lebih lemah di tengah penurunan hasil Perbendaharaan AS.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4710/4750 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 4.4950/5010.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit terus disokong dengan baik di tengah kebimbangan mengenai ekonomi AS.

"Pengukuhan ringgit juga selari dengan penurunan Indeks Dolar AS (DXY). Kemungkinan kenaikan kadar faedah di AS akan mengecilkan jurang kadar faedah antara Federal Funds Rate dan Kadar Dasar Semalaman (OPR)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes pula berpendapat bahawa kelemahan dolar AS adalah petunjuk bahawa daya tarikan sebagai aset selamat sedang merosot walaupun sentimen risiko masih rapuh.

"Sentimen pasaran juga menunjukkan semakin tidak stabil pasaran AS, semakin tinggi kemungkinan Rizab Persekutuan melaksanakan potongan kadar sebanyak 50 mata asas, yang menyokong strategi menjual dolar AS," katanya.

Pada penutup, ringgit kebanyakannya diperdagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.6661/6712 daripada 5.7122/7199 pada penutupan Rabu dan meningkat berbanding euro kepada 4.8859/8903 daripada 4.9054/9119 sebelumnya.

Namun, ringgit jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.0590/0619 daripada 3.0464/0509 semalam.

Sementara itu, ringgit diperdagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3746/3779 daripada 3.3853/3901 semalam dan lebih kukuh berbanding peso Filipina kepada 7.79/7.81 daripada 7.81/7.83 sebelumnya.

Sebaliknya, ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.6382/6545 daripada 12.5999/6230 pada hari Rabu dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/281.6 daripada 280.2/280.8.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini