BENGALURU: Harga emas melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa pada Jumaat apabila dolar Amerika Syarikat (AS) melemah di tengah-tengah prospek penurunan kadar faedah AS minggu depan, manakala paladium meningkat 15 peratus setakat minggu ini.
Kontrak semasa emas naik 0.2 peratus kepada AS$2,565 setiap auns atau RM356 segram, pada 0258 GMT, selepas mencapai rekod tertinggi AS$2,567.93 atau RM356.46 segram pada awal sesi.
Logam berharga itu meningkat 2.7 peratus bagi minggu ini.
Niaga hadapan emas AS meningkat 0.5 peratus kepada AS$2,593.40 atau RM359.99 segram.
Dolar AS jatuh ke paras terendah seminggu, menjadikan emas lebih murah untuk pemegang mata wang lain.
"Emas telah mengukuh berikutan kenaikan terbaharunya yang lebih tinggi. Kenaikan adalah bersifat stabil, dan tempoh pengukuhan tidak akan mengejutkan sebelum emas mungkin meningkat pada AS$2,600 atau RM360.91 segram sekiranya dolar kekal di belakang," kata Ketua Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer.
"Tanpa mengira saiz pengurangan kadar faedah oleh Fed, kita mungkin berada di ambang kitaran pelonggaran monetari yang panjang dan kerap, satu keadaan yang memberi manfaat kepada aset seperti emas yang tidak memberikan hasil," tambahnya.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Khamis menyatakan bahawa adalah wajar bagi Fed untuk memulakan kitaran pelonggaran monetari yang telah lama ditunggu-tunggu pada mesyuarat minggu hadapan berikutan risiko kenaikan inflasi yang semakin berkurangan.
Peniaga kini melihat peluang sebanyak 43 peratus untuk pengurangan 50 mata asas pada mesyuarat Fed pada 18 September dan peluang 57 peratus untuk pengurangan sebanyak 25 mata asas.
Pelabur juga akan meneliti data sentimen pengguna AS (awal) yang dijadualkan keluar pada hari ini untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai unjuran kadar faedah.
Sementara itu, kontrak semasa perak meningkat 0.1 peratus kepada AS$29.93 seaun manakala platinum naik sekitar satu peratus kepada AS$986.60.
Kedua-dua logam itu menunjukkan kenaikan mingguan.
Palladium pula naik 0.16 peratus kepada AS$1,048.06 dan berada di landasan untuk mencatat minggu terbaik sejak 11 Disember 2023, didorong oleh kebimbangan mengenai sekatan eksport.
Presiden Russia, Vladimir Putin, pada Rabu menyatakan bahawa Moscow sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan eksport uranium, titanium dan nikel sebagai tindak balas terhadap tindakan negara Barat.