Ringgit berpotensi cecah RM3.80 akhir tahun ini - Penganalisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berpotensi cecah RM3.80 akhir tahun ini - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan meningkat mencecah RM3.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akhir tahun ini jika momentum pengukuhan semasa berterusan didorong jangkaan pengurangan selanjutnya kadar faedah oleh bank pusat AS, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sekiranya momentum sedia ada dapat dikekalkan dan pengurangan berterusan kadar faedah AS, kemungkinan ringgit mencapai paras RM3.80 sedolar menjelang hujung tahun ini adalah satu tempoh yang dikira boleh dicapai.

Beliau berkata, jika melihat purata nilai ringgit sejak tambatan ringgit dimansuhkan pada 21 Julai 2005 sehingga kini, nilainya adalah RM3.7893.

Justeru, katanya, nilai ringgit boleh dikatakan masih lagi di bawah nilai jika melihat dari sudut pandang berkenaan.

"Semakin agresif penurunan kadar faedah AS, maka lebih kukuhlah nilai ringgit," katanya kepada BH bagi mengulas kemungkinan ringgit boleh mencecah RM3.80 sedolar hujung tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit boleh mencapai paras RM4 sedolar, tetapi untuk menghampiri paras RM3.80 sedolar, ia memerlukan dua faktor luaran dorongan utama.

Beliau berkata, dua faktor berkenaan ialah pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan dan pemulihan benar dalam pasaran hartanah China.

Katanya, tanpa kedua-dua perkara itu, ia akan menjadi perjalanan yang tidak menentu bagi ringgit.

"Pergerakan ringgit sebahagian besar akan bergantung kepada dua perkara iaitu sama ada AS kekal pertumbuhan lembap dan jika usaha rangsangan China memacu semula pasaran hartanahnya.

"Peningkatan ringgit telah melepasi perbezaan hasil dolar AS berbanding ringgit yang lazim dicadangkan, mendapat manfaat daripada prestasi pengeksport komoditi yang kukuh, terutamanya selepas rangsangan China memberikan sokongan yang amat diperlukan kepada komoditi." katanya.

Mengulas lanjut. Innes berkata, Rancangan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk mengurangkan kadar sehingga 2025 boleh memberi makna bahawa sebarang peningkatan semula dolar AS mungkin tidak lama.

"Apabila rangsangan China mula berkurangan, kita boleh melihat ringgit berpotensi kehilangan lebih banyak peningkatannya.

"Namun begitu, ia masih kelihatan seperti belian ketika penurunan," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini