KUALA LUMPUR: Malaysia berupaya mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 jika ringgit kekal pada paras semasa sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Bank Dunia.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, berkata dengan andaian ringgit berbanding dolar AS berada pada paras RM4.54 sedolar dan purata pertumbuhan ekonomi tahunan sekitar 4.3 peratus, Malaysia boleh mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2028.
Beliau berkata, pihaknya melihat Malaysia sebenarnya mencatatkan prestasi output perkapita yang mengatasi kebanyakan negara di ASEAN lain.
Malah, katanya, pertumbuhan perkapita Malaysia, pengukuran yang lazim digunakan oleh ahli ekonomi bagi mengukur kebajikan, juga dilihat lebih tinggi berbanding paras ketika sebelum pandemik iaitu meningkat 12 peratus.
"Berdasarkan andaian kami dengan ringgit pada paras RM4.54 sedolar dan kadar pertumbuhan purata 4.3 peratus, Malaysia dijangka mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2028.
"Jika kadar pertukaran ringgit Malaysia kekal pada paras semasa kira-kira RM4.20, maka negara berpendapatan tinggi boleh dicapai setahun lebih awal, pada 2027. Jadi, ini adalah berita baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2024 dan Bahagian 1 Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Oktober 2024, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Apurva mengingatkan bahawa berpendapatan tinggi tidak sama dengan pembangunan yang tinggi memandangkan kemungkinan wujudnya pembalikan dari segi fiskal.
Beliau berkata, rekod lalu menunjukkan negara seperti Argentina, Russia dan Venezuela telah mencapai negara berpendapatan tinggi, tetapi berikutan pengurusan fiskal makro yang lemah atau pengurusan eksport dan hasil komoditi yang lemah, mereka kembali ke status negara berpendapatan sederhana.
"Justeru, mencapai pendapatan tinggi tidak semestinya sama dengan pembangunan tinggi memandangkan akan ada pembalikan fiskal," katanya.
Apurva berkata, strategi fiskal komprehensif yang meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan hasil tanpa memberi kesan buruk kepada golongan miskin adalah penting untuk memulihkan ruang fiskal untuk membiayai keperluan perbelanjaan jangka panjang negara secara mampan.
Beliau berkata, usaha pembaharuan fiskal mesti dilengkapkan dengan komunikasi dasar yang berkesan untuk mendapatkan sokongan awam yang meluas untuk pembaharuan.