SINGAPURA: Harga minyak meningkat dalam sesi dagangan awal di Asia susulan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan di Asia Barat dengan Israel merancang untuk menyerang pengeluar minyak Iran, selain disebabkan peningkatan permintaan bahan api apabila taufan besar melanda Florida, Amerika Syarikat (AS).
Niaga hadapan Brent meningkat 37 sen, atau 0.5 peratus kepada AS$76.95 setong, manakala niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS naik 35 sen, juga 0.5 peratus, kepada AS$73.59 setong pada 0034 GMT.
Pengeluar dan pengguna minyak terbesar dunia terkesan apabila dilanda ribut besar kedua, Taufan Milton, yang melanda pantai barat Florida, menyebabkan puting beliung dan ancaman kenaikan paras air laut.
Taufan telah meningkatkan permintaan terhadap petrol di negeri berkenaan, dengan kira-kira satu perempat stesen minyak kehabisan bekalan, sekali gus melonjakkan harga minyak mentah.
Menambah lagi sokongan terhadap harga minyak adalah apabila pelabur kekal berhati-hati terhadap kemungkinan peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran, dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata serangan terhadap Iran adalah 'melumpuh dan mengejutkan'.
Presiden AS, Joe Biden mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai rancangan Israel terhadap Iran menerusi panggilan telefon selama 30 minit semalam yang digambarkan oleh Rumah Putih sebagai 'langsung dan sangat produktif'.
Meskipun ancaman kepada rantau pengeluar minyak Asia Barat menjadi tumpuan, permintaan yang lemah terus mendasari pandangan asas.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) kelmarin menurunkan unjuran permintaannya untuk 2025 berikutan aktiviti ekonomi yang lemah di China dan Amerika Utara.
Data EIA pada Rabu menunjukkan inventori minyak mentah meningkat sebanyak 5.8 juta tong kepada 422.7 juta tong minggu lalu.
Ia peningkatan yang lebih besar daripada jangkaan penganalisis, tetapi jauh lebih rendah daripada anggaran oleh kumpulan industri American Petroleum Institute yang dibuat Selasa lalu.