Pengukuhan ringgit mungkin jejas pendapatan syarikat semikonduktor - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pengukuhan ringgit mungkin jejas pendapatan syarikat semikonduktor


KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dijangka memberi kesan terhadap pendapatan beberapa syarikat semikonduktor di Malaysia dalam jangka masa terdekat.

Penganalisis TA Securities, Chan Mun Chun, berkata kebanyakan pemain utama dalam industri semikonduktor di Malaysia melakukan transaksi jualan dan perbelanjaan dalam denominasi dolar AS, menyebabkan mereka terdedah kepada turun naik nilai mata wang berkenaan.

"Dalam analisis sensitiviti terhadap beberapa syarikat semikonduktor tersenarai, kami menganggarkan bahawa setiap penyusutan satu peratus dolar AS berbanding ringgit akan menyebabkan penurunan pendapatan bagi Inari Amertron Bhd sebanyak 1.3 peratus, Unisem Bhd (Unisem) sebanyak 3.7 peratus, Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) (2.5 peratus) dan Elsoft Research Bhd sebanyak 0.2 peratus.

"Namun di sebalik semua ini, kami kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana dan panjang bagi sektor semikonduktor di Malaysia. Pemulihan permintaan global terhadap semikonduktor serta peluang perdagangan yang meningkat melalui strategi 'China Plus One' terus menyokong keyakinan terhadap sektor ini.

"Kami menyarankan supaya pelabur mengambil peluang daripada pembetulan pasaran semasa untuk mengumpul saham semikonduktor yang terlebih jual," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Beliau menambah, pada Ogos 2024, jualan semikonduktor global terus menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan yang kukuh.

Menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jualan semikonduktor global pada bulan itu mencecah AS$53.1 bilion (RM227 bilion), peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 20.6 peratus tahun ke tahun.

"Ini menandakan bulan ke-10 berturut-turut pertumbuhan jualan tahunan dan bulan keenam berturut-turut peningkatan bulanan, dengan Amerika Syarikat (AS), Chin dan Asia Pasifik menjadi penyumbang utama.

"Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan tinggi terhadap cip yang digunakan dalam kecerdasan buatan generatif," katanya.

Mun Chun berkata, menurut laporan SEMI, perbelanjaan global ke atas peralatan fab semikonduktor bakal mencapai rekod AS$400 bilion (RM1.7 trilion) dari 2025 hingga 2027.

Katanya, ia didorong oleh regionalisasi kilang semikonduktor dan peningkatan permintaan terhadap cip kecerdasan buatan.

"Pada 2024, perbelanjaan bagi peralatan fab 300mm dijangka meningkat 4.0 peratus kepada AS$99.3 bilion dan dijangka melonjak sebanyak 24 peratus kepada AS$123.2 bilion pada 2025, melepasi paras AS$100 bilion buat kali pertama.

"Trend ini dijangka berterusan dengan pertumbuhan 11 peratus pada 2026 dan 3.0 peratus pada 2027," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini