Pilihan raya AS pengaruhi pasaran global termasuk Malaysia - Ahli Ekonomi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pilihan raya AS pengaruhi pasaran global termasuk Malaysia - Ahli Ekonomi


KUALA LUMPUR: Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) akan menjadi penentu kepada pergerakan pasaran modal, komoditi dan mata wang justeru secara tidak langsung mempunyai impak kepada perdagangan serta ekonomi kebanyakan negara global termasuk Malaysia, kata penganalisis.

Pilihan raya Presiden AS akan menemukan Donald Trump dan Kamala Harris pada 5 November depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata secara umumnya, jika Trump menang dan menjadi Presiden AS, ia akan memberikan kesan negatif bagi pasaran modal dalam tempoh jangka pendek.

Namun beliau berkata, sebagai Presiden sebuah ekonomi utama, sudah pasti beliau boleh mengubah dasar yang diumumkannya sebelum ini.

Malah katanya, penasihat-penasihat serta mereka yang berada di Kongres juga akan memainkan peranan bagi memastikan ekonomi AS kekal mampan.

Oleh itu katanya, dari sisi yang positif, seseorang pemimpin AS sudah tentu mahukan ekonomi yang terus berkembang dengan cemerlang dan dapat mengekalkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar.

"Impak kepada pasaran modal adalah kemeruapan pasaran serta berlakunya permintaan terhadap instrumen selamat seperti bon.

"Pergerakan mata wang pula akan cenderung kepada pengukuhan nilai dolar AS disebabkan statusnya mata wang selamat," katanya.

Trump dikenali sebagai seorang yang bersifat melindungi industri tempatan melalui kenaikan tarif universal sebanyak 10 peratus dan kepada China pula, tarifnya adalah 60 peratus, justeru menjadikan kos perniagaan dan perdagangan dengan AS akan meningkat.

Selain itu, Trump dijangka akan mengekalkan dasar potongan cukai kepada syarikat dan individu yang diperkenalkan pada 2017.

Dasar itu sepatutnya akan tamat pada tahun hadapan. Oleh itu, dasar sebegini akan memberi kesan kepada pelebaran defisit fiskal dan kemungkinan penarafan kredit akan diturunkan oleh agensi penarafan kredit.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, Trump mempunyai rekod prestasi kerana pernah menjadi Presiden AS dan pasaran ketika ini sudah boleh menjangkakan situasi terburuk yang akan berlaku.

Beliau berkata, sekiranya Trump berjaya menang sekali lagi sebagai Presiden AS, pasaran menjangkakan beliau akan lebih menumpukan kepada ekonomi domestik.

Ini kerana katanya ekonomi AS sudah mulai perlahan selain akan menumpukan kepada faktor-faktor membangunkan ekonomi, kawalan inflasi, mencipta peluang pekerjaan, mengurangkan barangan import dan menggalakkan barangan keluaran domestik dipasaran.

Malah katanya beliau juga akan mengukuhkan kembali nilai mata wang dolar AS sebagai mata wang dunia, lalu mengekalkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan dengan tidak menurunkannya kecuali sangat terdesak.

"Pelbagai tarif ke atas barang import terutama dari negara saingan utama seperti China dan kesatuan BRICS akan dikenakan oleh AS.

"Begitu juga 'Chips War' yang dimulakan Trump dahulu akan dibawa naik keperingkat yang lebih tinggi dengan lebih tekanan kepada barangan dan perkhidmatan China.

"Ini termasuklah kepada negara ketiga yang menjadi transit mahupun perpindahan kilang milik China di negara lain seperti Vietnam, Indonesia, Thailand serta Malaysia... akan mengalami tarif yang lebih tinggi untuk masuk ke pasaran AS," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini