Ringgit, mata wang serantau diasak jangkaan Trump menang pilihan raya - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit, mata wang serantau diasak jangkaan Trump menang pilihan raya


KUALA LUMPUR: Jangkaan pasaran yang semakin meningkat terhadap kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November ini mendorong kepada pengukuhan dolar AS berbanding ringgit dan mata wang serantau, kata penganalisis.

Malah, perubahan dalam nada Rizab Persekutuan (Fed) berhubung kadar faedah dalam mesyuarat akan datang turut melengkapi perkembangan itu.

TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, sentimen pasaran yang berhati-hati diburukkan lagi oleh serangan langsung yang disasarkan Israel ke atas kemudahan pembuatan peluru berpandu Iran dan susunan peluru berpandu darat ke udara Sabtu lalu.

Malah katanya, keadaan itu dijangka boleh membawa kepada pusingan peningkatan baharu yang akan memburukkan lagi ketegangan Asia Barat.

Justeru, jelasnya, harga minyak mentah dijangka meningkat semula selepas kelemahan baru-baru ini, sekali gus meningkatkan selera pelabur terhadap saham berkaitan minyak dan gas yang dinilai rendah.

"Seperti yang dijangkakan, kekurangan insentif langsung dalam Belanjawan 2025 untuk merangsang pasaran saham dan suasana suram menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada 5 November dan mesyuarat Fed dua hari sejurus selepas itu meningkatkan tekanan mengambil untung minggu lalu, yang dicerminkan dalam jualan asing besar-besaran," katanya.

Ringgit jatuh kira-kira 0.4 peratus ke ke paras terendah sejak awal September dan berada di landasan untuk mencatat prestasi bulanan terburuk sejak akhir 2016.

Ini disebabkan data ekonomi AS yang positif meredakan jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Fed dan pertaruhan kemenangan Trump dalam pemilihan Presiden mengukuhkan dolar AS.

Penurunan eksport yang tidak dijangka baru-baru ini dan lebihan dagangan yang semakin melebar turut memberi tekanan kepada mata wang tempatan.

TA Securities berkata, dengan latar belakang itu, tekanan jualan dalam ekuiti domestik boleh berlaku minggu ini kerana pelabur menunggu pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga AS, perbelanjaan penggunaan peribadi September dan data pasaran buruh untuk Oktober yang akan mempengaruhi keputusan dasar monetari bank pusat negara itu Khamis depan.

Namun, ia berkata, minat belian boleh kembali pada jualan selanjutnya apabila pelabur meninjau tawar menawar dalam tema pelaburan lazim seperti ekonomi digital, peralihan tenaga dan semikonduktor kerana pelaburan berbilion-bilion dalam sektor ini dijangka berterusan tanpa mengira faktor luaran yang menjejaskan.

Selain itu, katanya penilaian indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI didagangkan pada konsensus nisbah pendapatan harga (PER) 2025 sebanyak 13.7 kali berbanding purata sejarah lima tahun sebanyak 17.6 kali dan rakan setara 13.1 kali.

"Oleh itu, saham seperti CelcomDigi Bhd, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, YTL Power dan Inari boleh menarik minat belian selain daripada saham perbankan kerana pelabur menjangkakan pelepasan rali dalam saham mewah yang dinilai rendah dengan menjangkakan rali akhir tahun atau tahun baharu," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini