KUALA LUMPUR: Kemenangan Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dijangka mengukuhkan dolar AS, sekali gus akan memberi kesan terhadap prospek ringgit, demikian menurut penganalisis.
Kenanga Research berkata, Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka bertindak balas secara berhati-hati dengan mengehadkan pengurangan kadar faedah berikutan pengembangan fiskal yang mungkin akan dilakukan Trump.
Ia berkata, dengan hutang negara itu dijangka meningkat melebihi AS$7.75 trilion menjelang 2035, tekanan untuk premium AS yang lebih tinggi berkemungkinan akan menaikkan Indeks Dolar AS (DXY).
"Bagi Malaysia, ini boleh menyaksikan ringgit menyusut kepada sekitar RM4.57 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024 dengan potensi pemulihan kepada RM4.45 berbanding dolar AS pada 2025 jika ketegangan pasaran reda.
"Pengukuhan dolar AS juga akan mencerminkan permintaan pelabur yang meningkat untuk aset AS di tengah-tengah ketidaktentuan global, yang berpotensi mempengaruhi mata wang pasaran sedang pesat membangun apabila aliran modal ke dolar," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata nilai ringgit dijangka kekal lemah pada masa terdekat berikutan langkah yang boleh menyebabkan kadar inflasi di AS meningkat dan Fed mungkin perlu menukar pendirian dasar monetari kepada yang lebih ketat.
"Sememangnya kemenangan Trump menimbulkan rasa kebimbangan terhadap iklim ekonomi global. Ia terutama dari segi perdagangan antarabangsa berikutan jangkaan pengenalan tarif universal sekitar 10 peratus hingga 20 peratus dan tarif yang khusus kepada China seebanyak 60 peratus, selain langkah untuk menjadikan langkah pengurangan cukai pada 2017 dijadikan dasar yang kekal," katanya.
Di samping itu, Mohd Afzanizam berkata, penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin secara besar-besaran dijangka memberi kesan kepada pasaran buruh disebabkan mereka banyak menyumbang kepada penawaran sumber buruh kepada ekonomi AS.
Katanya, sekiranya berlaku kekurangan penawaran buruh asing maka ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan boleh menyebabkan inflasi naik disebabkan barangan dan perkhidmatan yang tidak mencukupi untuk dihasilkan dan majikan pula menawarkan gaji yang tinggi bagi mengambil pekerja yang baharu.
"Justeru, buat masa ini kita tidak pasti sama ada janji ini akan dilaksanakan kerana jika dilaksanakan, ia boleh menjejaskan prestasi ekonomi AS dan boleh mengakibatkan populariti Trump terjejas dalam kalangan rakyat AS.
"Oleh itu, kesan ekonomi kepada Malaysia perlu dilihat dari segi pelaksanaan oleh pentadbiran Trump pada tahun depan," katanya.
HLIB Research pula berpendapat, peningkatan jangkaan kitaran penurunan kadar Fed yang lebih perlahan dan menyebabkan paras yang lebih perlahan bagi perbezaan Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan menjadi negatif untuk ringgit.
Justeru, pihaknya membuat semakan semula sasaran purata ringgit berbanding dolar AS pada akhir tahun ini kepada RM4.50/RM4.58 sedolar AS berbanding RM4.05/RM4.50 sebelumnya.