KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut berikutan kenaikan Indeks Dolar US (DXY) menjelang pengumuman data inflasi AS malam ini, kata seorang pakar ekonomi.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu jatuh kepada 4.4450/4495 berbanding dolar AS daripada 4.4365/4400 yang disaksikan semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata DXY terus bergerak lebih tinggi memandangkan sentimen pasaran telah menjadi jauh berbeza.
Ini terjadi selepas jangkaan untuk pemotongan kadar AS menjelang 2025 telah mula kabur berikutan keputusan pilihan raya baru-baru ini dan impaknya ke atas dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed), katanya.
"Fed dilihat menjadi lebih terpencil selepas ekonomi G7 lain mula melonggarkan dasar monetari mereka.
"Kita akan lihat sama ada Fed akan bertindak sebaliknya tahun depan kerana ini akan sangat bergantung pada dasar Presiden Donald Trump," katanya kepada Bernama.
Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia menambah nilai berbanding pound British kepada 5.6678/6736 daripada 5.6889/6934 yang dicatatkan semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8692/8723 daripada 2.8788/8812 tetapi lemah berbanding euro kepada 4.7241/7289 daripada 4.7111/7148.
Ringgit juga dilihat kurang bermaya berbanding mata wang ASEAN.
Ia jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8235/8416 daripada 12.7456/7608 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3244/3280 daripada 3.3143/3174.
Ringgit turut hilang kekuatan berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.58 daripada 7.54/7.55 serta merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 281.5/282.0 daripada 281.0/281.5 sebelumnya.