KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia menjadi mata wang yang paling terkesan dalam kalangan negara Asia susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi suku ketiga negara menyederhana, mencerminkan penurunan dalam pengeluaran perlombongan.
Ringgit jatuh sehingga 0.3 peratus dan menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Bursa saham juga mencatat kemerosotan sehingga 0.4 peratus.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia berkemungkinan perlahan, walaupun secara sederhana pada suku ketiga berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh penggunaan swasta dan aktiviti pembinaan kukuh yang mengimbangi kesan daripada penurunan pengeluaran perlombongan, menurut tinjauan pendapat pakar ekonomi oleh Reuters.
Dengan dolar AS kekal kukuh berhampiran paras tertinggi dalam tempoh lebih enam bulan dengan kebimbangan terhadap tarif lebih tinggi yang ditekankan oleh Presiden AS yang baharu, Donald Trump terhadap import, menyaksikan ringgit kekal terdedah kepada penyusutan.
Di negara lain rantau ini, dolar Singapura didagangkan kebanyakannya stabil, manakala baht Thailand meningkat 0.4 peratus dan peso Filipina mengukuh 0.1 peratus.
"Menuju ke hadapan, ringgit dijangka didagangkan dengan berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga Malaysia yang diumumkan pada Jumaat, serta data inflasi utama AS," kata Bank Islam Malaysia Bhd dalam satu nota penyelidikan.
"Keputusan pilihan raya adalah positif untuk dolar AS, kerana pasaran melihat dasar fiskal yang lebih longgar dan pro-pertumbuhan domestik Trump dapat mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di samping meningkatkan tekanan harga."
Pasaran saham pasaran baharu muncul di Asia kebanyakannya bercampur-campur, dengan saham di Thailand meningkat 1.1 peratus selepas Menteri Kewangan Thailand, Pichai Chunhavajira menegaskan jangkaan pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.7 peratus untuk tahun ini dan pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus pada 2025.
Terdahulu, Pichai berkata, Thailand sedang berusaha mengatasi unjuran pertumbuhan ekonomi 3.0 peratus.
Bank pusat Thailand secara tidak dijangka telah menurunkan kadar faedah utama pada pertengahan Oktober, pertama kali sejak Mei 2020, selepas lima mesyuarat dasar berturut-turut kadar faedah dikekalkan.
Penganalisis Jefferies dan TISCO Securities percaya ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu telah menamatkanpelonggaran kadar untuk tahun fiskal 2024.
"Kami menjangkakan satu lagi pemotongan sebanyak 25 mata asas sekitar suku pertama 2025," kata penganalisis.
"Pemotongan ini juga dijangka 'terakhir' untuk 2025, sama seperti pemotongan pada Oktober 2024."
Sementara itu, pasaran ekuiti di Jakarta meningkat sebanyak 0.6 peratus manakala di Singapura naik 0.2 peratus, sementara saham di Manila susut 0.6 peratus dan penanda aras Taiwan menurun 0.2 peratus.
Pemerhati pasaran global turut menantikan bacaan inflasi terbaharu di AS pada Rabu membabitkan indeks harga pengguna (CPI) Oktober.