Dua faktor asak ringgit jatuh ke paras terendah tiga bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dua faktor asak ringgit jatuh ke paras terendah tiga bulan


KUALA LUMPUR: Ringgit berada di paras terendah dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pengukuhan mata wang negara maju itu, kata penganalisis.

Dolar AS berada di paras tertinggi dalam tempoh lebih enam bulan berikutan kebimbangan semakin meningkat terhadap tarif lebih tinggi yang mungkin dikenakan oleh Donald Trump terhadap import.

Trump kembali memerintah bagi penggal kedua selepas memenangi pilihan raya Presiden AS baru-baru ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, ringgit berada pada paras RM4.4540 berbanding dolar AS, paras rendahnya sejak Ogos lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata terdapat dua punca utama mendorong ringgit berada di paras terendah tiga bulan.

Beliau berkata, punca pertama ialah mengenai ketidakpastian dasar AS di bawah kepimpinan Trump yang dilihat bakal mengenakan pelbagai tarif, pengurangan cukai dan penghantaran pendatang tanpa izin secara besar-besaran.

Seterusnya, katanya dasar ekonomi yang dijangka memberi kesan kepada inflasi di AS dan dilihat mampu mengubah keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mengurangkan kadar faedah pada tahun depan.

"Justeru, situasi ini telah memberi kesan kepada permintaan dolar AS yang telah meningkat akibat daripada kedua-dua faktor berkenaan," katanya kepada BH.

AmInvest Research dalam satu nota penyelidikan berkata, ringgit menyusut untuk mengakhiri sesi dagangan semalam sekitar paras RM4.43 sedolar berikutan pengukuhan dolar AS.

Ia berkata, arah hala tuju ringgit dijangka terus ditentukan oleh faktor luaran apabila mata wang tempatan itu secara perlahan-lahan bergerak ke arah rintangan mingguan seterusnya pada tahap RM4.48 berbanding dolar AS.

Bank Islam Malaysia Bhd dalam satu nota penyelidikan pula berkata, ringgit dijangka didagangkan dengan berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga Malaysia yang diumumkan esok serta data inflasi utama AS.

"Keputusan pilihan raya adalah positif untuk dolar AS, kerana pasaran melihat dasar fiskal yang lebih longgar dan pro-pertumbuhan domestik Trump dapat mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di samping meningkatkan tekanan harga," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini